Bukit Aman, 16 April – Yayasan Kebajikan Muslim (MyFundAction) dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM) Bukit Aman menganjurkan program rewang memasak dan mengagihkan 3000 pek bubur lambuk serta 200 pek makanan panas iftar di Masjid Bukit Aman, di sini, semalam bernilai RM21,000.

Selain bubur lambuk, MyFundAction juga turut mengedarkan 3000 biji pau dan 1500 cawan air balang yang merupakan jualan asnaf-asnaf MyFundAction di bawah projek Ikhtiar Usahawan.

Ini merupakan hasil kerjasama 44 sukarelawan dari Kelab Alumni Chapter YOSH UPM yang membantu proses memasak dan pembungkusan bubur lambuk ke dalam pek Special Iftar For Ummah (SIFU).

Program Edaran Bubur Lambuk Sang Saka Biru menerusi projek Special Iftar for Ummah ini bertujuan bagi mengeratkan hubungan silaturahim antara NGO, penjawat awam dan masyarakat dengan slogan “Polis dan Masyarakat, Berpisah Tiada”.

Mohd Nazrin Azmi, Pengarah Projek Edaran Bubur Lambuk Sang Saka Biru berkata, “3000 bekas bubur lambuk ini akan diagihkan kepada enam ibu pejabat daerah (IPD) polis di sekitar Kuala Lumpur termasuklah Jabatan Siasatan Penguatkuasaan Trafik Kuala Lumpur.

“Enam IPD itu termasuklah IPD Sentul, Dang Wangi, Brickfields, Putrajaya, Cheras, Wangsa Maju selain Bukit Aman itu sendiri.

Menurut Commissioner Police Dato’ Sri Azri Ahmad, Pengarah Jabatan Integriti  dan Pematuhan Standard Polis Diraja Malaysia Bukit Aman, beliau amat berbangga kerana projek ini mampu dijalankan atas usaha anak muda.

“Negara sememangnya memerlukan lebih ramai belia seperti ini dalam membangunkan sahsiah dan peradaban kemanusiaan sejagat seterusnya memacu kejayaan negara.

“Saya percaya usaha sebegini mampu merapatkan hubungan antara PDRM, masyarakat dan badan bukan kerajaan dan kami amat memerlukan kerjasama masyarakat bagi menyokong usaha mencapai misi dan visi dalam menjamin keselamatan masyarakat dan negara.

“Saya mewakili Yang Dihormati Ketua Polis Negara dan seluruh warga PDRM sangat berterima kasih dan bersyukur atas usaha kebajikan yang dijalankan oleh MyFundAction,” tambah beliau semasa memberi ucapan di Majlis Simbolik Penyerahan Bubur Lambuk.

Program tersebut diikuti oleh jamuan berbuka puasa bersama Senior Assistant Commissioner Afandi Senin, Pengerusi Masjid Bukit Aman serta Pusat Tahfiz Pertubuhan Kebajikan dan Penjagaan Nur Hidayah.

Similar Posts