Alhamdulillah kita masih diberi kesempatan untuk bertemu dengan Ramadan lagi pada tahun ini. Selepas kita dah diuji dengan pelbagai ujian yang menimpa kita, syukur pada Allah kerana kita masih diberi peluang untuk beramal soleh di bulan Ramadan yang mulia ini.
Hikmah pada bulan Ramadan sangat besar kerana ia merupakan bulan yang sering dinanti-nantikan seluruh umat Islam untuk meningkatkan ibadah kepada Allah Taala.
Pada bulan ini, Allah menjanjikan pelbagai ganjaran keampunan dan kerahmatan yang sangat besar kepada umat Islam. Pintu-pintu syurga dibuka dan pintu-pintu neraka ditutup, doa dimakbulkan dan terdapat Lailatur Qadar.
Persediaan sambut Ramadan bukan sehari sebelum datangnya Ramadan, malah kita dianjurkan membuat persiapan sebelum Ramadan lagi.
Bagaimana pula sekiranya kita tidak sempat? Tak mengapa. Anda boleh mulakan dari sekarang. Selagi kita masih hidup, tiada istilah ‘terlambat’ untuk berbuat kebaikan. Oleh itu, jadikan Ramadan kali ini sebagai bulan yang paling baik dalam hidup kita.
1. Perbanyakkan doa
Antara persediaan sambut Ramadan ialah banyakkan berdoa di bulan Ramadan kerana Allah tidak akan tolak doa orang berpuasa. Perbanyakkanlah meminta dengan Sang Maha Pencipta supaya Allah mengampunkan dosa-dosa kita yang lalu, memakbulkan apa yang kita hajati dan sebagainya.
Kita sedia maklum, doa merupakan senjata bagi orang mukmin. Allah janjikan, sesiapa yang bertakwa kepadaNya, nescaya Allah akan berikan jalan keluar dari segala masalah kita. Tanpa kita sangka-sangka juga, Allah akan hadirkan rezeki yang datang dari pelbagai sumber.
2. Tingkatkan ilmu agama
Persediaan lain sambut Ramadan ialah tingkatkan ilmu agama. Ramadan adalah waktu terbaik untuk kita mempelajari dan mengulangkaji semula hukum-hukum mengenai amalan ibadah di bulan mulia ini.
Wajib bagi setiap mukmin untuk melaksanakan ibadah berlandaskan ilmu yang betul dan bukan sekadar ikutan. Begitu juga dengan membaca al-Quran. Kita mungkin sudah rasa bacaan kita betul tetapi tanpa kita sedar, sebenarnya terdapat kesalahan nyata pada bacaan kita.
Bulan Ramadan adalah bulan untuk kita pecut selajunya mengejar amal ibadah dan merebut segala ganjaran yang dijanjikan Allah. Maka, rancanglah agenda persediaan sambut Ramadan anda dengan aktiviti ibadah yang akan memanfaatkan masa di bulan penuh rahmat ini.
3. Eratkan silaturrahim
Bagi umat Islam di negara ini, ketibaan Ramadan 2022 memang amat ditunggu-tunggu bagi mengubat rindu beribadat secara jemaah di masjid dan surau. Selepas lebih kurang 2 tahun berturut-turut, Ramadan diraikan dalam keterbatasan Perintah Kawalan Pergerakan.
Ini merupakan satu manfaat besar kepada kita semua kerana sudah boleh beramai-ramai di masjid dan tiada lagi penjarakan fizikal. Ini bermakna peluang untuk kita eratkan silaturahim dan seterusnya dapat #KembaliTerjalin dengan sanak saudara dan teman-teman.
4. Menjaga lidah & telinga
Puasa bermaksud menahan diri daripada makan dan minum daripada segala perkara yang membatalkan puasa dari terbit fajar sehingga terbenamnya matahari. Namun jangan kita lupa, terdapat anggota lain yang perlu ‘dipuasakan’ juga iaitu hati, mata, lidah, dan telinga.
Jika lidah asyik ‘membawang’, telinga mendengar lagu yang melalaikan manakala hati pula berburuk sangka, sudah tentu pahala puasa kita akan berkurang. Oleh itu, jika perut berpuasa maka hati, mata, lidah, dan telinga pun hendaklah berpuasa.
5. Sosialisasikan ibadah dalam keluarga
Ibu bapa berperanan mewujudkan suasana ibadah di rumah. Amalan solat fardhu berjemaah, tilawah, menghidupkan malam dengan amalan-amalan sunat yang dilakukan oleh Baginda SAW perlu dilaksanakan dengan lebih kerap.
Hal ini kerana ia berupaya mendekatkan hati antara satu sama lain selain menyumbang kepada kesihatan mental seseorang.
Terdapat pelbagai fadhilat yang Allah bentang pada bulan Ramadan penuh kemuliaan ini. Usah sia-siakan bulan penuh rahmat dan keberkatan ini. Semoga kita semua istiqamah dalam melaksanakan ibadah dan bersungguh-sungguh membuat persediaanan sambut Ramadan kali ini.
Dalam kita menikmati persediaan sambut Ramadan, jangan kita lupa saudara kita yang ditimpa musibah dan kesusahan dengan mendoakan kesejahteraan mereka serta hulurkan bantuan seikhlas mungkin.
Mudah-mudahan dengan perkongsian yang diberikan dapat memberikan sedikit sinar kegembiraan kepada mereka yang terlibat terutama ketika menjelang ketibaan Syawal.