Anas (tiga kanan) dan Siti Aisyah (tiga kiri) selepas MoU hari ini. /FOTO ZULFADHLI ZAKI

SHAH ALAM – Syarikat kesihatan ProtectHealth Corporation Sdn. Bhd. (ProtectHealth) menjalin kerjasama dengan sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO), MyFundAction dalam memperluaskan manfaat Skim Peduli Kesihatan B40 (PeKa B40) di negeri ini.

Ketua Pegawai Eksekutif ProtectHealth, Datuk Dr. Anas Alam Faizli berkata, kerajaan memperkenalkan
PeKa B40 bagi membantu rakyat berpendapatan rendah bagi mendapatkan rawatan di hospital kerajaan.

Katanya, program tersebut menyediakan insentif seperti pemberian alat perubatan kepada seseorang pesakit sehingga RM20,000, rawatan kanser (RM1,000) dan menanggung tambang pengangkutan sehingga RM1,000.

“Berdasarkan insentif ini membolehkan penduduk negara ini segera melakukan pemeriksaan kesihatan
supaya pengesanan terhadap apa-apa penyakit yang dihadapinya dapat diketahui lebih awal.

“Ia juga secara langsung dapat mengurangkan beban khususnya di kalangan pesakit B40,” katanya di sini hari ini.

Terdahulu beliau mewakili ProtectHealth menandatangani memorandum persefahaman (MoU) bersama MyFundAction yang diwakili Ketua Pegawai Operasi MyFundAction, Siti Aisyah Shahid.

Sementara itu, Siti Aisyah menjelaskan, ada beberapa pesakit di bawah programnya sebelum ini tidak mampu membiayai kos rawatan penyakit susulan kekurangan sumber kewangan.

“Jadi MoU sangat membantu agar bantuan kewangan khususnya dapat disalurkan bagi membantu para pesakit tersebut,” jelasnya. -K!ONLINE

Similar Posts