Ibadah korban merupakan salah satu ibadah yang dilakukan oleh umat Muslim sebagai sebahagian daripada perayaan Hari Raya Aidiladha. Secara tradisinya haiwan ternakan seperti lembu, kambing dan unta akan dikorbankan dan seterusnya dagingnya diedarkan kepada masyarakat setempat yang memerlukan.

Sejarah Awal Ibadah Korban

Sejarah ibadah korban dimulakan oleh anak Nabi Adam AS, Habil dan Qabil yang telah mempersembah korban masing-masing kepada Allah SWT seperti di dalam Surah Al-Maidah ayat ke 27;

وَاتْلُ عَلَيْهِمْ نَبَاَ ابْنَيْ اٰدَمَ بِالْحَقِّۘ اِذْ قَرَّبَا قُرْبَانًا فَتُقُبِّلَ مِنْ اَحَدِهِمَا وَلَمْ يُتَقَبَّلْ مِنَ الْاٰخَرِۗ قَالَ لَاَقْتُلَنَّكَ ۗ قَالَ اِنَّمَا يَتَقَبَّلُ اللّٰهُ مِنَ الْمُتَّقِيْنَ

Dan ceritakanlah (Muhammad) yang sebenarnya kepada mereka tentang kisah kedua putra Adam, ketika keduanya mempersembahkan korban, maka (korban) salah seorang dari mereka berdua (Habil) diterima dan dari yang lain (Qabil) tidak diterima. Dia (Qabil) berkata, “Sungguh, aku pasti membunuhmu!” Dia (Habil) berkata, “Sesungguhnya Allah hanya menerima (amal) dari orang yang bertakwa.”

Di dalam ayat ini Allah menceritakan berkenaan persembahan korban oleh kedua putra Nabi Adam AS untuk mengahwini Iqlima, kembar Qabil yang cantik. Mereka mempersembahkan hasil tulang empat kerat mereka sebagai korban yang mana Qabil dengan hasil tanamannya dan Habil dengan hasil ternakannya. Namun, Qabil yang sentiasa tamak mengorbankan sejumlah sayur yang rosak manakala Habil yang soleh dan ikhlas, telah menyerah seekor kambing betina yang gemuk dan sihat.

Selepas itu, ada yang berpendapat bahawa terdapat jalur yang membawa keputusan dari langit, manakala yang lain berpendapat bahawa api datang dari langit dan menyambar korban Habil, menunjukkan bahawa Allah telah menerima korban Habil dan menolak korban Qabil. Setelah melihat itu, Qabil menjadi marah dan berkata kepada Habil, “Aku mesti membunuh kamu!” untuk menghalang Habil daripada berkahwin dengan Iqlima. “Sesungguhnya Allah hanya menerima korban dari orang yang bertaqwa,” jawab Habil.

Berdasarkan kisah yang diceritakan oleh Allah SWT ini, ibadah korban yang paling dicintai oleh Allah adalah korban yang paling banyak kebaikan dan manfaatnya.

Bahagian Bagi Setiap Haiwan Ternakan

Pada hari ini, ibadah korban dilaksanakan dengan menyembelih haiwan ternakan seperti lembu, kambing dan unta dengan pembahagian yang tertentu. Seperti lembu dan unta akan dibahagikan kepada tujuh bahagian manakala kambing hanya satu bahagian selari dengan hadis Rasulullah SAW;

Saidina Jabir bin Abdullah RA, katanya:

نَحَرْنَا مَعَ رَسُولِ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم عَامَ الْحُدَيْبِيَةِ الْبَدَنَةَ عَنْ سَبْعَةٍ وَالْبَقَرَةَ عَنْ سَبْعَةٍ

Maksudnya: “Kami melakukan korban bersama Rasulullah SAW pada tahun Hudaibiyah (perjanjian damai) dengan unta dikongsi dengan tujuh bahagian dan lembu dikongsi dengan tujuh bahagian”. Riwayat Muslim (1318)

Imam Nawawi dalam menjelaskan hadis di atas bahawa bahagian pada seekor unta adalah tujuh bahagian begitu juga dengan lembu dan setiap bahagian itu bersamaan dengan seekor kambing.

Setiap bahagian daging itu akan dibahagi lagi kepada tiga penerima berbeza. Secara ringkasnya pembahagian tersebut adalah 1/3 untuk dimakan oleh peserta korban dan ahli keluarganya; 1/3 untuk disedekahkan kepada fakir dan miskin dan baki 1/3 untuk dihadiahkan kepada sahabat handai termasuk orang kaya atau jiran-jiran.

Secara tidak langsung, masyarakat yang fakir dan miskin di kawasan tersebut juga akan memperoleh daging hasil sembelihan dan seterusnya memberi peluang kepada mereka untuk menikmati hasil masakan dari daging yang segar. Berdasarkan pengalaman saya turun ke masyarakat, terdapat beberapa golongan asnaf yang tidak mampu untuk membeli daging segar di pasar dan hanya dapat merasakan daging segar pada Hari Raya Aidiladha sahaja.

Inovasi Edaran Daging Hasil Ibadah Korban

Sememangnya edaran daging korban mentah ini memberikan manfaat kepada mereka yang memerlukan. Namun baru-baru ini terdapat inovasi dalam edaran daging korban yang akan memberikan manfaat secara maksimum kepada para asnaf iaitu pek ‘ready-to-eat’ daging korban.

Proses penyembelihan, melapah, debone dan memotong akan dijalankan di pusat penyembelihan bagi memastikan kebersihan yang optimum kepada daging-daging korban tersebut.

Kemudian daging-daging korban akan dimasak sebelum dipek menggunakan teknologi pembungkusan retort dari Jerman yang menyerupai konsep makanan sedia dimakan pasukan tentera. Hidangan yang siap dimasak akan dimasukkan dalam retort pouch sebelum dipanaskan dengan suhu antara 116 hingga 121 darjah Celsius. 

Proses berkenaan dapat membunuh kuman Clostridium Botulinum yang merupakan antara punca utama kerosakan makanan selain retort pouch itu sendiri bersifat vakum (kedap udara) bagi mengelakkan hidangan membusuk dan mampu bertahan sehingga dua tahun.

Ini secara tidak langsung akan memberi manfaat yang lebih berpanjangan dan lebih inovatif kepada asnaf yang memerlukan. Masalah yang sering dihadapi oleh para asnaf adalah penyimpanan daging-daging mentah tersebut. Terkadang para asnaf akan menerima beberapa kilogram daging dalam masa sehari. Namun tempat penyimpanan yang terhad telah memaksa para asnaf untuk terus memasak daging-daging tersebut dan tempoh manfaat yang diterima juga semakin singkat. Dengan wujudnya inovasi edaran daging korban ini, para asnaf tidak perlu risau akan tempat penyimpanan dan tempoh manfaat yang diterima juga berpanjangan.

Inisiatif MyFundAction

Di Malaysia, masih tidak ramai yang maklum berkenaan inovasi edaran daging korban ini. Satu-satunya pertubuhan tidak berasaskan keuntungan Malaysia yang menjalankan dan mempraktikkan inovasi ini adalah Yayasan Kebajikan Muslim (MyFundAction) di bawah projek Qurban Care For Ummah (QC4U).

Siti Aisyah binti Shahid, Ketua Pegawai Operasi MyFundAction menyatakan bahawa setiap pek hidangan adalah seberat 200 gram. Jadi, satu bahagian mampu menghasilkan kira-kira 50 pek hidangan yang akan dibahagikan kepada penerima manfaat dan peserta korban yang masing-masing berjumlah 15 dan 35 pek.

Hidangan daging korban tersebut akan diedarkan oleh pihak MyFundAction kepada asnaf dan golongan memerlukan dalam tempoh setahun dengan jadual edaran yang teratur kepada asnaf di dalam negara. MyFundAction juga turut membawa bersama pek daging korban tersebut sewaktu misi-misi kemanusian di luar negara seperti ke kem pelarian di Syria serta Yemen.

Baru-baru ini semasa hangat isu gempa bumi di Kahramanmaraş, Turkiye, MyFundAction dengan kerjasama Agensi Pengurusan Bencana Malaysia (NADMA) telah berjaya mengedarkan 20,000 pek daging korban kepada petugas barisan hadapan di sana.

Ini secara tidak langsung akan memberikan manfaat yang lebih lestari dan berpanjangan kepada para asnaf selari dengan sabda Nabi Muhammad SAW :

خَيْرُ النَّاسِ أَنْفَعُهُمْ لِلنَّاسِ

“Sebaik-baik manusia adalah orang paling bermanfaat bagi orang lain” (HR Ibn Hibban).

Hukum Edaran Daging Korban Selepas Hari Tasyriq 

Menurut Dato’ Seri Dr. Zulkifli bin Muhammad Al-Bakri, Bekas Mufti Wilayah Persekutuan berkata, ”Tidak ada tempoh masa bagi pengedaran daging korban. Tempoh masa antara 10 sehingga 13 Zulhijjah adalah tempoh bagi sesiapa yang ingin melakukan korban.

“Adapun bagi pengedaran dan pemberian daging kepada fakir miskin dan mereka yang memerlukan tidak ada tempoh masa yang tertentu. Ianya boleh dan diharuskan untuk diedarkan selepas daripada hari Tasyriq. Lebih baik untuk disegerakan pengedaran daging korban. Ini ditakuti daging itu rosak dan sebagainya,” tambahnya lagi.

Pengalaman di Lapangan

Saban tahun, Malaysia kerap dilanda bencana alam yang telah mengakibatkan masalah kesihatan, ekonomi, dan kesihatan mental masyarakat. Pada Disember 2022 kita dikejutkan dengan tragedi tanah runtuh di Batang Kali yang mengorbankan sehingga 30 jiwa. Diteruskan dengan tragedi banjir di selatan tanah air dan pantai timur.

Saya sebagai aktivis kemanusiaan melihat sendiri kegigihan para mangsa bencana untuk mendapatkan bekalan makanan dalam situasi yang sulit. Semasa banjir teruk di Sri Muda, Shah Alam, ramai aktivitis dan pertubuhan tidak berasaskan keuntungan yang menghantar makanan panas kepada mangsa-mangsa banjir. Sehingga berlori-lori. Namun mereka terpaksa menunggu lama untuk sampaikan makanan tersebut kepada mangsa disebabkan masalah pengangkutan untuk masuk ke kawasan yang tenggelam dan telah mengakibatkan semua makanan tersebut rosak.

Jadi, pek masakan daging korban inilah yang menjadi ‘hero’ bagi menyelesaikan masalah kelaparan para mangsa. Pek ini juga mudah untuk dibawa dan tidak perlu risau jika terjatuh di atas tanah atau di dalam air atas sebab ketahanan pek retort yang sangat baik.

Kesimpulannya, ibadah korban sememangnya telah menyediakan manfaat yang pelbagai kepada para asnaf yang memerlukan. Dengan inovasi yang dilakukan ini akan merangsang dan menggalakkan pemanfaatan ibadah korban di peringkat global dengan lebih lama, lebih bernutrisi dan lebih mudah. Diharapnya dengan inovasi ini akan menjadikan ibadah korban kita semua diterima oleh Allah SWT sama seperti korbannya Habil.

 

 

Similar Posts