6 orang delegasi MyFundAction sebelum bergerak ke Syria menghantar bantuan rakyat Malaysia
Idlib, 13 Januari – Yayasan Kebajikan Muslim (MyFundAction) dan Malaysia For Syria komited menghantar bantuan kepada pelarian Syria bernilai RM3 juta hasil kerjasama NGO di Turki, Hayrat Yardim dan sokongan masyarakat Malaysia.
Menurut Ketua Misi Bantuan Musim Sejuk Syria, Isma Fildza Hazry Ismail, bantuan yang diberikan akan dimanfaatkan oleh 500 keluarga pelarian yang kesejukan hasil sokongan masyarakat Malaysia.
Isma Fildza ketika ditemu bual di Syria
“Bantuan ini termasuklah 500 buah rumah briquette dan sebuah kilang roti selain kotak musim sejuk yang mengandungi baju sejuk, kasut but, baju panas, seluar, scarf-barrett-glove set dan stoking untuk pelarian di sini.
Antara rumah briquette yang telah siap dibina di Idlib, Syria
“Antara bantuan lain termasuklah kotak makanan yang terdiri dari gula, beras, minyak zaitun, minyak sayuran, bijirin, majerin, jem dan rempah ratus yang mampu bertahan sehingga sebulan selain bantuan roti dan pek makanan panas.
Kotak makanan yang diterima oleh masyarakat Syria
“Kami di sini memang tidur bersama pelarian di kem bagi merasakan sendiri kehidupan seharian mereka.
“Suhu di sini berada di bawah takat beku dengan bekalan api yang sangat terhad dan apabila kami tidur dan jalani sendiri kehidupan di sini mereka seakan-akan sudah lali dengan ketidak cukupan.
Anak-anak Syria yang memanaskan badan dengan bahan bakar dari kertas-kertas
“Saya menyeru semua masyarakat di Malaysia berlatar belakangkan individu, perniagaan atau korporat untuk turut bersama kami bagi membantu meningkatkan taraf kehidupan mereka di sini.
“Kita sudah cukup selesa untuk jalani kehidupan, ayuh kongsi keselesaan bersama mereka,” kata beliau yang juga merupakan Ketua Bahagian Perhubungan Luar MyFundAction.
Ardell Aryana atau nama sebenarnya, Nurul Hidayah Mohd Amin yang juga merupakan selebriti dan usahawan berkata, “apabila saya berada di sini, saya sangat mengharapkan masyarakat dunia sedar bahawa saudara kita di sini serba kekurangan dan perlukan bantuan dari kita semua.”
Manakala Izzat Ikhwan atau lebih dikenali sebagai JatIkhwan di Twitter yang juga merupakan seorang peguam tempatan berkata, “sebelum ini kita hanya boleh sebut saudara kita kesusahan di sini dan hari ini saya sendiri lihat kesusahan mereka menjalani kehidupan seharian.”
Delegasi berada di Syria selama 10 hari sebelum berangkat pulang ke tanah air dan jalani kuarantin selama seminggu.