Lampiran tangkap layar daripada video kempen Rezeki ummat, MyFundAction berkaitan perkongsian En. Nasir membesarkan anak-anaknya meskipun serba kekurangan

“Disangkakan panas sampai ke petang, rupanya hujan di tengahari”, begitulah peribahasa yang sesuai untuk menggambarkan situasi keluarga Encik Nasir Osman (62), merupakan bekas Tentera Udara Di Malaysia (TUDM) yang menghadapi pelbagai cabaran hidup untuk menyara keluarganya selepas kelahiran anak sulung beliau, adik Qausar (6) yang mengidap penyakit celebral palsy sejak lahir sehingga kini. Disebabkan penyakit itu, anaknya mengalami lumpuh yang melibatkan anggota paras pinggang ke bawah sehingga merencatkan pelbagai aktiviti harian Encik Nasir untuk mencari sesuap nasi bagi membayar komitmen bulanan keluarganya.

Kelihatan pandangan anak Encik Nasir yang hiba menerima layanan mesra daripada MyFundAction ketika sesi penyerahan perkongsian rezeki berupa barangan keperluan kesihatan Qausar dan kotak Rezeki Ummat

 

“Saya percaya dia ini adalah anugerah Allah untuk saya, sikit pun saya tak pernah terdetik rasa susah nak besarkan anak-anak. Sebaliknya, sehingga kini walaupun tidak mewah tapi rezeki untuk Qausar sentiasa datang dari banyak arah sehingga memudahkan kami sekeluarga”

Luahan Encik Nasir ketika ditemu bual berkaitan bagaimana dia mendapatkan semangat untuk melaksanakan tanggungjawab sebagai bapa tatkala dikurniakan anak kelainan upaya itu.

“Saya jujur cakap, sebenarnya mereka inilah kekuatan saya setiap kali celik daripada tidur. Kalau ikutkan usia, saya ni dah 62 tahun dah. Logiknya, kudrat saya sudah terhad tapi melihatkan wajah mereka semua ini lebih-lebih lagi Qausar, saya jadi semangat yang luar biasa. Saya jadi yakin pada diri, apa pun jadi, saya akan berikan terbaik untuk keluarga saya”.

Ditanya berkaitan sumber pendapatan beliau, Encik Nasir rupanya membuat lebih daripada 2-3 kerja sambilan seperti buruh binaan dan lain-lain. Tambah beliau, kelebihan ‘survival skill’ yang dimilikinya menerusi penglibatan sewaktu dalam tentera sedikit sebanyak membantu beliau dalam pekerjaan sambilan.  

Malang tidak berbau, baru-baru ini beliau terjatuh ketika melakukan kerja buruh sehingga menyebabkan kecederaan bahagian dalaman iaitu tulang pinggang kirinya cedera teruk dan bengkak. Doktor menasihatkan beliau untuk berehat dalam tempoh yang lama kerana khuatir kesihatan beliau lebih parah sekiranya beliau terus melakukan kerja berat. 

“Saya tahu doktor prihatin, tapi kalau bukan saya yang keluar cari rezeki siapa nak tanggung barangan kesihatan anak saya? Saya tak gemar susahkan orang sebab saya tahu saya boleh” keterangan tersebut cukup jelas menunjukkan kecekalan Encik Nasir yang sentiasa mencari ruang untuk memotivasikan dirinya agar tidak mudah berputus asa. 

Oleh itu, Pertubuhan Kesihatan Jantung Malaysia (MyHeart) dan juga MyFundAction mengambil inisiatif dengan berkongsi rezeki menghulurkan bantuan empat tin susu Pediasure dan dua pek (50 keping) lampin pakai buang Drypers Drypants beserta barangan keperluan makanan Kotak Rezeki Ummat (RU) berisi beras, kicap, tepung, pek makanan RTE, gula dan lain-lain kepada keluarga Encik Nasir bertujuan untuk meringankan beban beliau sekeluarga. Turut menyokong usaha bersama, racangan JEJAK daripada Astro juga turut menyerahkan wang tunai bagi memudahkan urusan ekonomi mereka juga. Semoga dengan bantuan dan juga doa daripada orang ramai akan menambah baik semangat insan yang bergelar bapa ini dalam meneruskan kehidupan selagi mana masih bernyawa. 

Similar Posts