Tahun ini jemaah Malaysia kembali ke tanah suci untuk menunaikan ibadah haji setelah 2 tahun ditangguhkan akibat pandemik COVID-19. Penangguhan ini dibuat bagi memastikan pencegahan penyebaran COVID-19 di seluruh dunia. Bagi memastikan kesihatan jemaah haji terjamin tahun ini, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah melakukan persediaan terbaik untuk memastikan jemaah haji Malaysia dapat mengikuti peraturan kesihatan yang telah ditetapkan. Antara syarat yang ditetapkan oleh Kerajaan Arab Saudi untuk jemaah haji pada tahun ini adalah jemaah mestilah berumur dalam lingkungan 65 tahun ke bawah, sudah menerima vaksin COVID-19 dan ujian RT-PCR COVID-19 adalah negatif dalam tempoh 72 jam sebelum berlepas.

Walaupun negara kita sudah mula beralih kepada fasa endemik, banyak langkah pengawalan jangkitan COVID-19 telah dibuat, antaranya mengetatkan syarat saringan kesihatan sebelum berlepas mengikut Garis Panduan Pemeriksaan Kesihatan Bakal Haji 1443H/2022M, Edisi Khas Pandemik. Ini kerana jemaah yang mengalami banyak penyakit lebih mudah mendapat komplikasi dari COVID-19 dan mereka perlu disaring dan ditentukan tahap kesihatannya terlebih dahulu. Walau bagaimanapun, situasi ketika di tanah suci adalah lebih mencabar bagi mengawal jangkitan COVID-19. Ini kerana suasana yang penuh sesak dengan manusia, polisi kesihatan yang berbeza di setiap negara dan kurangnya kepatuhan kepada pengawalan kesihatan. Oleh yang demikian, pihak rombongan perubatan telah melakukan usaha yang terbaik bagi mengawal jangkitan COVID-19 ketika berada di tanah suci termasuk memberikan pendidikan kesihatan kepada para jemaah dari bilik ke bilik.

Bagi mengawal COVID-19, kaedah TRIIS telah dijalankan (test, report, isolate, inform and seek). Setelah pesakit mengalami gejala dan pemeriksaan lanjut dari doktor, ujian COVID-19 akan dibuat. Jika positif, pesakit perlu dinotifikasi kepada pihak berkuasa bagi kawalan dan pendataan. Pesakit akan diisolasi dan dirawat mengikut tahap penyakitnya. Jika pesakit dimasukkan ke wad, pesakit akan disaring untuk permulaan ubat Paxlovid, ubat yang digunakan untuk merawat COVID-19. Waris terdekat serta kontak rapat juga akan dimaklumkan. Jika ada pesakit yang tidak stabil, pesakit akan menerima rawatan kecemasan dan akan dirujuk ke Hospital Arab Saudi jika memerlukan.

Selain pencegahan COVID-19, pencegahan strok haba (heat stroke) juga dititikberatkan. Ini kerana para jemaah berhadapan dengan perubahan suhu di tanah suci yang boleh mencecah 50 darjah selsius terutamanya di padang Arafah. Berhadapan dengan cahaya matahari secara langsung dan secara berterusan dapat menyebabkan masalah strok haba. Pesakit boleh mengalami masalah seperti lemah badan, muntah, sakit kepala, kulit kering dan kemerahan, kekejangan otot, sawan, pitam dan boleh membawa kematian.

Berdasarkan pengalaman saya, ada pesakit 30-an mengalami panas badan dijumpai pengsan di depan hotel penginapannya di tanah suci. Sebelumnya, dia telah muntah tiga kali. Setiap kali makan atau minum, dia akan muntah. Badannya menjadi lemah. Dia ditolak dengan kerusi roda ke kecemasan untuk mendapatkan rawatan. Saya segera memberinya ubat, menyejukkan badannya dan memasukkan cairan drip kepadanya. Suhu awal badannya mencecah 38.9 darjah selsius. Jika mencapai suhu melebihi 40.5 dan ke atas, strok haba boleh mengganggu fungsi saraf dan mengakibatkan kematian. Setelah ditanya, dia baru sahaja solat di tingkat atas masjid yang terus terdedah dengan terik matahari selama 2 jam. Mujur dia sempat berjalan balik ke hotel. Jika pengsan di luar hotel, tidak tahu dia akan dibawa ke mana.

Selain isu COVID-19 dan cuaca yang panas kering, masalah pergerakan fizikal jemaah haji juga perlu dititikberatkan. Kesihatan jemaah haji amat diperlukan untuk melaksanakan setiap pergerakan dalam ibadah haji. Ibadah haji memerlukan pergerakan yang jauh seperti berjalan ulang alik ke masjid serta melakukan pekerjaan haji seperti tawaf, sa’i, wukuf, bermalam di Muzdalifah dan Mina serta melontar jamrah. Belum lagi berjalan kaki untuk membeli-belah dan keperluan-keperluan yang lain. Kecergasan fizikal dengan bersukan penting ketika berada di tanah air lagi. Jika ada yang mengalami masalah pergerakan, mereka terpaksa menggunakan bantuan kerusi roda atau pengangkutan seperti bas untuk melakukan ibadah haji.

Klinik saya sering dipenuhi dengan jemaah haji yang mengalami masalah kaki sakit, kaki kering, kaki pecah-pecah, kaki melecet dan kaki melecur. Ini menyebabkan mereka sukar untuk berjalan dan menjejaskan ibadah mereka. Cuaca yang panas, pemilihan selipar yang salah, tidak menggunakan pelembab kulit dan tidak beralas kaki menyebabkan masalah-masalah ini. Keadaan bertambah teruk jika jemaah turut menghidap penyakit kencing manis. Ini kerana penyakit kencing manis dapat menyebabkan luka lambat sembuh dan memudahkan komplikasi pada kaki. Pergerakan yang jauh juga boleh menyebabkan kesakitan pada kaki, lutut dan di bahagian badan yang lain terutama mereka yang bersaiz badan besar. Ada juga jemaah yang jatuh terutamanya di tangga, tandas, tempat minum air zam-zam atau di tempat wudhu. Akibatnya, mereka boleh mengalami kecederaan seperti terseliuh, patah tulang sehingga kecederaan teruk pada kepala atau bahagian badan yang lain.

Perubahan cuaca, masa, tempat perjalanan, makanan dan persekitaran sosio-budaya amat mempengaruhi kesihatan jemaah haji di tanah suci. Ada yang mengalami dehidrasi, hidung berdarah, kesukaran tidur, sembelit, sakit perut, masalah mental dan lain-lain lagi. Para jemaah perlu melakukan persediaan bagi menghadapi semua kemungkinan ini di tanah suci. Jika timbul sebarang masalah kesihatan, jangan malu untuk dapatkan perkhidmatan percuma dari petugas kesihatan. Bagi yang sudah menghidapi penyakit, dapatkan nasihat lanjut daripada doktor bagi penyakit anda.

Untuk mengekalkan kesihatan diri di tanah suci, amalkan minum air yang cukup sekurang-kurangnya 6 botol air kecil (3 liter). Jangan menunggu haus untuk mengekalkan hidrasi badan. Lotion pelembap terutamanya untuk kaki dan bibir perlu untuk menjaga kesihatan kulit. Pemakaian mask penting untuk melindungi diri dan orang lain daripada penyakit bawaan udara terutamanya ketika berada di tempat sesak atau sempit. Untuk mengekalkan suhu badan, mandi dan pakai pakaian yang sesuai seperti tidak terlalu tebal. Jemaah perlu membawa ubat-ubatan persendirian yang mencukupi dan alangkah baiknya jika membawa ubat-ubatan yang biasa (over-the-counter medications) seperti ubat demam, batuk, selsema, sakit tekak dan ubat tahan sakit. Selain itu, makan makanan yang seimbang dan bersih untuk mengelakkan masalah pencernaan. Rehat secukupnya agar badan dapat lebih fokus pada ibadah. Di tanah suci, ambillah keberkatannya untuk berhenti merokok kerana tabiat ini jelas memudaratkan kesihatan.

Semoga semua jemaah haji dapat menjaga kesihatan dengan sebaik mungkin di tanah suci kerana kesihatan mereka menentukan kesempurnaan ibadah haji mereka. Ahli keluarga dan rakan sebilik juga berperanan untuk memberikan nasihat kesihatan antara satu sama lain. Mari sama-sama kita berdoa supaya jemaah haji pada tahun ini dapat menunaikan ibadah haji dengan lancar seterusnya mendapat haji yang mabrur.

Artikel ini ditulis oleh Dr Ahmad Luqman bin Ahmad Shuhaili,
Presiden Pertubuhan Kesihatan Jantung Malaysia (MyHeart),
Rombongan Perubatan Musim Haji 1443H/2022M.

Similar Posts