Seorang rakyat Malaysia yang berasal daripada Semporna, Sabah telah menghidap sakit “misteri” yang menyebabkan kakinya membengkak. Penyakitnya juga menyebabkan kadang-kala dia langsung tidak dapat bangun daripada katil.
Muhammad Faizal, 38 tahun dan isteri telah menetap di Klang, Selangor sejak awal perkahwinan. Hasil perkahwinan mereka dikurniakan lima orang anak yang masing-masing berusia 19, 17, 14, 10, dan 8 tahun.
Faizal mula menghidap penyakit ‘misteri’ sejak Februari 2022. Namun, sebagai seorang yang berasal daripada Sabah dah tidak mempunyai dokumen rasmi seperti surat beranak atau kad pengenalan diri, Faizal tidak dapat mendapatkan rawatan kesihatan kerana kos yang tinggi.
Inisiatif isterinya Salip Ame, 32 tahun, adalah membawa suaminya berubat cara Islam. Alhamdulillah kaki bengkak suamiya surut. Namun begitu, Muhammad Faizal diserang demam yang tidak kebah sehingga hari ini.
Salip Ame berkata, “Saya sudah bawa abang ke klinik kesihatan, tapi diminta hantar ke hospital. Sampai sajak (sahaja) di hospital dorang (mereka) minta deposit dulu RM100, mujur kakak saya ada duit”
“Tapi lepas cek, doktor mau masukkan abang ke wad, mau kena bayar RM1500, mana ada kami duit, jadi saya bilang (beritahu) sama doktor, ndak (tidak) payah lah wad, cek jak”
“Doktor minta buat X-Tray dengan bayaran RM700, tapi sebab kami betul-betul ndak mampu, sebab tu abang sekarang bergantung dengan panadol jak setiap 4 jam, kalau ndak nanti demam dia naik”, jelas Ame.
Faizal bekerja sebagai tukang cat. Pendapatan keluarga mereka bergantung sepenuhnya daripada gaji mingguan Faizal. Pendapatan Faizal yang tidak menentu sebagai seorang pengecat menyebabkan mereka sekeluarga perlu berjimat-cermat dalam berbelanja.
Sebelum ini, isterinya turut menyumbang dalam menjana pendapatan keluarga dengan menjual nasi kuning sebelum kawasan perniagaannya dirobohkan semasa dia pulang menjaga ibunya yang lumpuh di Sabah selama setahun.
Pada 9 Jun 2022, Yayasan Kebajikan Muslim (MyFundAction) hadir melawat mereka sekeluarga sebagai salah seorang pemohon terpilih untuk mendapatkan bantuan perniagaan di bawah projek Business For Ummah (BIZ4U).