PAPAR– Seramai 30 orang belia dari pelbagai latar belakang telah menyertai bengkel selama seminggu bagi meningkatkan potensi diri dari sudut kepimpinan, pengurusan dan spiritual.
Bengkel Youth Summer Camp (YSC) anjuran Pertubuhan Pemimpin Sukarelawan Malaysia (YOSH) dan MyFundAction yang diadakan di Hutan Lipur Kawang di sini telah disertai oleh pelajar lepasan matrikulasi, asasi dan setaraf yang sedang menunggu keputusan melanjutkan pelajaran di peringkat sarjana muda.
Menurut Muhammad Ra’is Muhsin bin Sazali, 19, kami telah didedahkan untuk membuat projek bersama masyarakat di setiap peringkat umur termasuklah pelajar sekolah, dewasa dan pihak berautoriti.
“Sebelum kami berprogram bersama masyarakat, kami akan dilatih dari sudut komunikasi, pengurusan program dan spiritual supaya setiap perkara yang dilakukan akan lebih lancar dan mudah,” kata Ra’is lagi yang juga pelajar lepasan Kolej Matrikulasi Labuan.
Ummi Nur Sazleen binti Rose Asman,19, berkata, “pada mulanya saya ingatkan apabila kami diarahkan untuk jalankan program bersama pelajar Sekolah Menengah Agama Pantai Manis, Papar adalah mudah tetapi tidak kerana setiap slot perlu diperincikan dengan teliti.
“Ini termasuklah dengan program edaran kotak bantuan makanan kepada masyarakat di Pulau Gaya, program Hi-tea bersama Pengasas dan Penasihat Utama MyFundAction, Dr. Hj. Mohd Hizul Azri bin Hj. Md. Noor, Pengerusi Tabung Haji Wilayah Sabah dan Sarawak, Datin Hajah Nurlaila Said serta 10 tetamu kehormat yang lain selain program Forum Maal Hijrah yang dihadiri oleh panel jemputan Mufti Kerajaan Negeri Sabah, Datuk Ustaz Bungsu @ Aziz Jaafar, Komander Artileri 5 Divisyen, Kolonel Zamri bin Mat Esa dan Pengasas dan Penasihat Utama MyFundAction,” tambah beliau yang juga telah memperoleh PNGK 3.94 dalam keputusan Peperiksaan Semester Program Matrikulasi (PSPM) baru-baru ini.
Nurin Rifqah binti Khairudin, 20, Pengarah YSC Borneo yang juga pelajar Bioteknologi dari Universiti Malaysia Sabah menyatakan bahawa program ini sememangnya diadakan bagi memberi pendedahan awal kepada peserta akan kehidupan di alam universiti selain meningkatkan potensi belia dalam menempuhi kehidupan yang lebih mencabar.
“Alhamdulillah para peserta telah mengharungi segala cabaran dan halangan dengan baik. Kami berharap program sebegini dapat diteruskan lagi bagi membina generasi mendatang bukan sahaja baik dari sudut intelektual tetapi juga baik dari sudut kemahiran mengendalikan masalah dan berfikir secara kritis.
YSC telah berlangsung serentak di dua tempat berbeza iaitu di Sabah yang disertai oleh pelajar di sekitar Sabah, Sarawak dan Labuan selain di Selangor yang berpusat di Kem Laman Cikgu 21, Tanjung Karang yang telah disertai oleh 72 orang pelajar di sekitar semenanjung Malaysia dari Perlis hingga Johor.