Sukarelawan UCTC Universiti Putra Malaysia menyampaikan sumbangan kepada mangsa-mangsa banjir.

KUALA LUMPUR – Pusat Transformasi Komuniti Universiti (UCTC), Universiti Putra Malaysia berganding bahu dengan NGO MyFundAction untuk membantu menyampaikan sumbangan segera kepada mangsa banjir di negeri Selangor semasa tempoh sukar ini.

Pengarah UCTC, Prof. Dr. Loh Teck Chwen berkata, misi ini agak mencabar kerana berhadapan dengan dua situasi bencana yang sedang melanda iaitu Covid-19 dan banjir besar.

“Apapun keadaan dan situasi, kita perlu jaga diri sendiri terlebih dahulu, ahli keluarga dan mangsa banjir dalam keadaan selamat, di lindungi dan para sukarelawan juga perlu berhati-hati agar sentiasa mematuhi SOP bagi mengelakkan tercetusnya penularan Covid-19,” kata beliau.

Sebagai sebuah keluarga di Malaysia, tindakan segera yang dilakukan dengan menyumbangkan bantuan pek makanan, air mineral, hygiene kit dan tuala wanita kepada beberapa lokasi yang kritikal dan memerlukan bantuan segera untuk menampung kira-kira 400 orang mangsa banjir.

Dua lokasi awal yang disasarkan oleh UCTC UPM dan Pusat Pertanian Putra bagi menghulurkan sumbangan adalah Taman Mas, Puchong dan Kampung Baru (HICOM), Puchong bagi menampung keperluan segera mereka.

”Kami juga ingin menasihatkan agar ibu bapa dapat mengawasi anak-anak masing-masing agar tidak bermain dengan air banjir bagi mengelakkan perkara yang tidak diingini berlaku,” ujar beliau.

Banjir bukan tempat bermain air kerana keadaan air yang kurang bersih boleh menyebabkan masalah kesihatan.

Bentuk bantuan lain yang diperlukan adalah lilin, pelitup muka, barangan kebersihan diri, tuala wanita, hand sanitizer, pampers kanak-kanak, pakaian, tilam dan selimut. – MalaysiaGazette

Similar Posts