Tidak lama lagi, Aidiladha kian menjelma. Masyarakat yang beragama Islam akan melakukan ibadah korban dengan menyembelih haiwan-haiwan ternakan seperti lembu, kambing dan unta dalam tempoh empat Hari Tasyrik; 10, 11, 12 dan 13 Zulhijah setiap tahun.
Setiap ekor yang disembelih akan menghasilkan 7 bahagian dan akan diedarkan kepada masyarakat setempat sebagai inisiatif membantu golongan yang memerlukan dari sudut makanan.
Namun, sejauh manakah edaran daging korban ini mampu menjamin sekuriti makanan bagi asnaf sekitar temoat penyembelihan? Berapa lama daging korban ini boleh tahan di dalam peti sejuk? Adakah asnaf-asnaf ini mempunyai peti sejuk yang baik untuk penyimpanan daging?
Justeru, Yayasan Kebajikan Muslim (MyFundAction) dengan kerjasama Food For Hunger Association menjalankan projek korban yang berlainan dengan projek yang lain.
Setiap bahagian lembu yang disembelih, akan menghasilkan 50 pek korban. 15 pek akan diberikan semula kepada peserta korban dan 35 pek akan disalurkan kepada asnaf yang terpilih.
Setiap lembu akan disembelih, dilapah dan dipotong di tempat bersuhu rendah bagi menjaga kualiti daging. Setelah daging-daging siap dipotong dadu, daging-daging tersebut akan disimpan di dalam peti chiller sebelum dimasak dalam tiga perisa; daging masak hitam, kari dan rendang. Setelah dimasak, daging-daging ini akan dibungkus ke dalam pek khas menggunakan teknologi retort yang mampu bertahan selama 2 tahun.
Segala proses ini mengambil masa selama empat ke lima bulan bagi menjaga kualiti daging korban. Setelah siap dibungkus, pek-pek ini akan diedarkan kepada asnaf-asnaf di seluruh dunia yang memerlukan makanan.
Menurut Puan Siti Aisyah Shahid, Ketua Pegawai Operasi MyFundAction, MyFundAction telah menyembelih 230 ekor lembu pada 2021. 190 ekor telah sembelih, diproses dan menghasilkan 118,766 pek korban. Pek-pek tersebut telah disalurkan kepada negara yang ditimpa musibah dan juga kepada pelarian dan asnaf di Malaysia, Indonesia, Syria, Afrika, Yaman dan Mesir. 22,191 pek diagihkan kepada mangsa banjir, 24,150 pek dikembalikan kepada peserta manakala 72,425 pek diagihkan kepada pelarian, gelandangan dan asnaf.
Baki 40 ekor lagi disembelih dan diedar mentah kepada 2730 keluarga yang memerlukan di Selangor, Sabah, Perak and Melaka.
“November tahun lepas, semasa kami menghantar pek korban di Syria, apabila melihat pelarian di sana makan daging-daging korban dari Malaysia ini, saya rasa sangat-sangat tersentuh kerana hasil titik peluh kita sebagai masyarakat Malaysia berhasil dalam memberi sekuriti makanan kepada saudara kita di sana.”
“Apabila ditanya, bila kali terakhir mereka makan daging? Mereka hanya menjawab hanya sekali setahun iaitu semasa Aidiladha. Kini mereka dapat lagi merasa daging walaupun Aidiladha belum tiba,” ujar Puan Aisyah.
“Hasil usaha ini bukanlah hanya hasil titik peluh kami, bahkan merupakan hasil sokongan yang padu oleh seluruh rakyat Malaysia keseluruhannya,” tambah beliau.
Pada tahun ini, MyFundAction menyasarkan untuk menyembelih 500 ekor lembu di dalam negara.