BALING – Berpantang maut sebelum ajal! Seorang wanita warga emas yang dihanyutkan air dalam kejadian banjir yang melanda beberapa kampung di sini, sempat berpaut pada sebatang pokok pisang sebelum diselamatkan.
Mangsa, Mak Cik Su, 65, berkata, sebaik melihat air naik dengan cepat dan masuk ke dalam rumah, dia berlari menuju ke kedai adiknya yang terletak di hujung jalan.
Namun, arus terlalu deras ketika itu yang menyebabkan kereta terhanyut bersama memaksa beliau untuk memanjat sebatang pokok pisang berhampiran kedai adiknya.
“Mak cik pakai kain waktu tu jadi tak boleh nak lari sangat. Nampak je pokok pisang kat depan mak cik, mak cik terus berpaut, tapi itu pun hampir nak tenggelam.
“Jadi, mak cik panjat lagi naik sampai ke pucuk pokok pisang tu. Dapatlah lepas paras tengkuk ni. Baru mak cik boleh bernafas. Lebih kurang 15 minit juga mak cik kesejukan tunggu kat atas pokok tu sampailah titi kat depan jalan tu roboh. Baru lah air yang deras tu beransur surut,” katanya ketika ditemui pasukan kami.
Menurutnya, nasib baik orang kampung terdengar dia menjerit meminta tolong dan dapat diturunkan dengan selamat.
“Mak cik hanya ingat mati masa itu sebab banjir sebesar ini tak pernah terjadi.”
Baca juga: ‘Syurga’ hasil keringat 33 tahun, lesap sekelip mata
Banjir Terburuk Berlaku di Baling
Mak Cik Su berkata, dia yang sudah tinggal di situ berpuluh tahun sering menyaksikan kejadian banjir di situ namun banjir yang berlaku kali ini adalah yang terburuk.
“Umur mak kepada mak cik hampir 80 tahun, tapi ini kali pertama banjir sebesar macam ni berlaku. Mak cik boleh buat apa? Istighfar banyak-banyak saja lah. Ini bukan kuasa kita, ini kuasa Allah Taala.
Menurutnya lagi, paras air yang selalu naik, sampai paras titi di kampung itu saja. Tapi, ini kali pertama naik sampai ke bumbung rumah dan menghanyutkan semua barang-barang, kereta, sampaikan rumah juga terhanyut dibawa arus.
Baca juga: Kedai terbakar selepas banjir melanda, peniaga hilang punca pendapatan
Allahu. Walau Tuhan dah uji Mak Cik Su sehebat ini, masih lagi dia tak lupa dengan kebesaran Yang Maha Esa. Cukup membuktikan Mak Cik Su beriman dengan qada’ dan qadar.
Sewaktu kami menghulurkan bantuan Pek Qurban, telekung, dan Al-Quran, Mak Cik Su seronok sangat! Katanya, ada 3 naskhah Al-Quran kesayangannya yang dia gunakan untuk mengaji setiap pagi habis terhanyut sekali.
“Kalau mak cik tahu Al-Quran pun terhanyut sekali, mak cik akan bawa naik atas sekali tapi tak sempat,” menitik sebak air mata Mak Cik Su bila dapat merasa perkongsian rezeki daripada warga jiwa baik semua.
Pertolongan Tuhan tidak pernah terlambat asalkan PERCAYA SAJA. Untuk yang ingin turut serta meringankan beban mangsa bencana dan asnaf boleh KLIK DI SINI.