KUALA LUMPUR – Selepas berdepan dengan cabaran COVID-19 hampir dua tahun, akhirnya sambutan Hari Derma Darah Kebangsaan diadakan semula pada 17 Jun 2022, bertempat di Exhibition Hall 5, Kuala Lumpur Convention Centre (KLCC). Program ini dijalankan hasil kerjasama daripada beberapa pihak yang diketuai oleh Persatuan Bulan Sabit Merah Malaysia (PBSM), Yayasan Kebajikan Muslim (MyFundAction), Pertubuhan Kesihatan Jantung Malaysia (MyHeart), dan Hospital Tengku Ampuan Rahimah Klang.

Inisiatif murni ini adalah bertujuan untuk mendapatkan bekalan darah kepada masyarakat yang memerlukan selain mengiktiraf dan menggalakkan nilai derma darah secara sukarela dalam meningkatkan perpaduan masyarakat dan perpaduan sosial.

Program yang berlangsung hampir tujuh jam ini dimulakan dengan sesi taklimat daripada wakil PBSM kepada barisan sukarelawan dan agensi serta rakan strategik yang terlibat, kemudiannya diikuti dengan pembukaan sesi pendaftaran kepada orang awam selain memberikan perkongsian kesihatan sebelum dan selepas menderma darah untuk meyakinkan serta mendidik masyarakat akan kelebihan menderma darah.

“Sebenarnya niat nak derma darah memang ada, kawan-kawan pun sama. Cuma, tidak berkesempatan dan tak tahu lokasi di mana. Jadi, dah ada peluang ni, saya terus rebut!” Ujar Puan Hasnah salah seorang penderma darah yang merupakan antara penderma terawal.

Pertubuhan Kesihatan Jantung Malaysia (MyHeart) juga mengambil bahagian dengan membuka ruangan reruai di kawasan derma darah dengan mempromosikan informasi berkaitan MyHeart selain menunjukkan tanda sokongan dengan menurunkan ahli untuk sesi health-screening.

“Seronok dapat sertai program seperti ini, melihat keterujaan orang yang hadir memberi sokongan melalui sumbangan darah sepatutnya dipuji kerana tidak semua orang mempunyai keberanian untuk melakukan perkara tersebut,” ujar Hidayah Jamaluddin yang merupakan salah seorang sukarelawan MyHeart.

Turut ikut serta, Dato’ Sri Suhaimi Hj Yacob, Pengurus Persatuan Bulan Sabit Merah Kuala Lumpur turut menzahirkan rasa teruja tatkala melihat penglibatan belia yang hadir untuk sama-sama menjayakan program komuniti ini. Tambah beliau, kesedaran yang sedang dipupuk kepada masyarakat ini tidak hanya boleh bergantung kepada pihak hospital semata-mata sebaliknya kekuatan para belia yang mahir dalam penggunaan teknologi harus dimanfaatkan agar kiblat program ini dapat dicapai dengan lebih cepat dan meluas.

Similar Posts