Setelah 8 tahun pengoperasian MyFundAction, ramai dari kalangan masyarakat meletakkan kepercayaan kepada kami dalam membantu mereka yang memerlukan di samping meningkatkan jati diri dan taraf hidup mereka. Berlandaskan visi pembangunan belia, MyFundAction akan terus menyediakan platform khas bagi memenuhi amanah ‘Keluarga Malaysia’.
Sifat pemurah rakyat Malaysia tidak dapat disangkal lagi. Lebih-lebih lagi apabila mereka melihat sisi kesedihan kehidupan para asnaf di media sosial seperti Tik Tok, Instagram dan Facebook.
Baru-baru ini sebuah video berkenaan penerima manfaat kami, adik Akid, yang tular dan mendapat sokongan dan dorongan dari kalangan penonton video. Hanya dalam sehari sahaja, kutipan wang bagi membina rumah baharu untuk adik Akid telah mencukupi.
Tidak kurang juga yang mengecam dan meninggalkan komen yang negatif di hantaran tersebut. Pelbagai tuduhan dan tohmahan telah kami terima berkenaan aliran dana yang diterima. Sampai ada yang meminta maklumat peribadi keluarga adik Akid sendiri seperti alamat rumah dan nombor akaun peribadi. Malah ada yang memberitahu alamat adik Akid yang tepat dengan menggunakan hantaran video.
Mengapa Maklumat Peribadi Penerima Manfaat Perlu Dirahsiakan?
Hakikatnya, mengapa kami dan kebanyakan NGO lain tidak mendedahkan maklumat penerima manfaat? Adakah benar ianya untuk memenuhi kepentingan peribadi seperti yang diperkatakan? Teruskan membaca dan akan kami jelaskan satu persatu.
Sebab yang PERTAMA adalah seperti berikut;
Menurut Akta Perlindungan Data Peribadi 2010 (APDP) Perlembagaan Persekutuan seksyen 44 (1), seseorang pengguna data hendaklah menyimpan dan menyenggarakan suatu rekod mengenai apa-apa permohonan, notis, permintaan atau apa-apa maklumat lain yang berhubungan dengan data peribadi yang telah atau sedang diproses olehnya.
Manakala menurut seksyen 5 (2), seseorang pengguna data yang melanggar subseksyen (1) melakukan suatu kesalahan dan boleh, apabila disabitkan, didenda tidak melebihi tiga ratus ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya.
MyFundAction pandang serius berkenaan data asnaf yang telah berdaftar dan kami tidak akan sewenang-wenangnya mendedahkan atau membocorkan data demi melindungi hak peribadi mereka.
Antara maklumat peribadi yang tidak boleh dibocorkan termasuklah alamat rumah, nombor telefon, nombor akaun peribadi dan nombor kad pengenalan. Sesiapa didapati menyebarkan data tersebut boleh didakwa di bawah APDP 2010.
Berikut merupakan antara komen yang pernah meminta pihak kami mendedahkan maklumat peribadi asnaf;
Sememangnya pihak MyFundAction tidak akan berkompromi dan membalas sebarang komen atau permintaan seperti ini.
Selain APDP2010, Apa Kesan Negatif Lain Jika Kami Mendedahkan Maklumat Peribadi Asnaf?
Selain itu, terdapat pelbagai kesan negatif yang lain jika kami dedahkan maklumat peribadi asnaf kami antaranya seseorang asnaf itu TIDAK AKAN keluar dari garis kemiskinan. Sebagai contoh, seseorang asnaf memerlukan RM70,000 untuk membina rumah yang baharu. Jika kami dedahkan data peribadi mereka seperti nombor akaun dan kisah mereka tular di media sosial, sudah tentu mereka akan memperoleh lebih dari keperluan mereka. Mereka boleh hidup senang ketika itu namun bukan di masa depan kerana peruntukan yang diperoleh hanya bersifat ‘one-off’.
Jadi, sebab yang KEDUA kami tidak mendedahkan maklumat adalah kerana hanya asnaf yang tular sahaja yang akan dibantu.
‘Biarlah, rezeki mereka!’ Mungkin kita berfikiran begini, namun di MyFundAction kami berusaha sedaya upaya untuk mengeluarkan asnaf dari garis kemiskinan secara total. ‘Habis, kalau MyFundAction dapat lebihan duit? Bagaimana?’ Soalan ini sering kami peroleh dan sebenarnya lebihan-lebihan dana akan kami salurkan kepada asnaf-asnaf yang lain yang turut berada di bawah projek yang sama.
Contoh senario yang sering berlaku adalah seperti ini;
Adik Akid dan keluarga tinggal di rumah yang usang dan MyFundAction hadir ke rumah mereka untuk membantu membina rumah yang baharu di bawah projek Rumah Impian. Segala gambar dan video telah diambil bagi tujuan pemasaran dan hantaran di laman sosial.
Video adik Akid tular di Tik Tok dan ramai rakyat Malaysia yang ingin membantu adik Akid sehingga terlebih dari dana yang disasarkan. Mereka perlukan RM72,000 manakala dana yang diperoleh, RM100,000. Baki RM28,000 yang terlebih itu akan disalurkan kepada asnaf-asnaf lain yang berada di bawah projek Rumah Impian yang tidak tular di media sosial dan masih memerlukan dana.
Video adik Akid yang tular di Tik Tok baru-baru ini
Lazimnya, rakyat Malaysia hanya membantu mereka yang tular sahaja. Bagaimana nasib mereka yang tidak tular? Adakah tidak perlu dibantu?
Sebab yang TERAKHIR kami tidak mendedahkan maklumat adalah kerana asnaf yang dibantu tidak akan keluar dari garis kemiskinan.
Bagi memastikan setiap penerima manfaat kami bebas dari garis kemiskinan secara lestari, hasil perkongsian rezeki masyarakat akan disalurkan kepada pembangunan kehidupan seseorang asnaf seperti keperluan makanan, keperluan akses pendidikan, malah turut juga menyediakan platform supaya mereka mampu menghasilkan pendapatan yang lebih efektif seperti berniaga dengan pemantauan yang rapi.
Pelbagai aspek bantuan ini dipantau disebabkan beberapa kajian kes yang pernah dan sering berlaku seperti berikut;
Sebagai contoh, Encik Abu menetap di pondok usang di Batu Kikir, Negeri Sembilan bersama tiga orang anak dan seorang isteri yang mualaf. Berbekalkan pendapatan dari pekerjaan kampung selain membela ayam sahaja, Encik Abu tetap berjuang menyara diri mereka lima sekeluarga demi sesuap nasi.
Di fasa pertama, MyFundAction komited hadir untuk membuat penilaian dan membantu keperluan semasa melalui penyerahan makanan asas di bawah projek Rezeki Ummat (RU).
Fasa kedua, selepas selesai sesi menganalisis data yang diterima, Encik Abu layak untuk menerima rumah baharu di bawah projek Rumah Impian (RI) selepas dikenal pasti kelayakan dan disahkan kriteria utamanya iaitu pemilik mesti mempunyai tanah sendiri, tempat tinggal sekarang tidak selamat dan tidak sesuai untuk didiami selain mempunyai anak yang masih bersekolah.
Lanjutnya, Rezeki Encik Abu tidak berhenti setakat itu. Bagi memberi pendapatan yang lestari kepada Encik Abu sekeluarga, MyFundAction turut menyediakan platform untuk mereka menaik taraf reban ayamnya dengan memberikan 50 ekor ayam tambahan untuk memajukan perniagaannya. Tidak cukup itu, kelas-kelas khas seperti kelas pemasaran dan perniagaan turut disediakan buat Encik Abu di bawah kelolaan projek Business for Ummah (Biz4U).
Bagi isteri Encik Abu yang mualaf, MyFundAction turut membimbing beliau dengan menyediakan kelas agama Islam serta bantuan awal persekolahan buat tiga orang anaknya juga turut disediakan demi pendidikan yang lebih terjamin di bawah kelolaan sektor pendidikan.
Secara tidak langsung, satu ekosistem kekeluargaan Encik Abu akan turut dibantu. Dalam tempoh enam bulan, keluarga ini sudah keluar dari kepompong asnaf kerana mampu untuk menghasilkan pendapatan sendiri yang lebih stabil. Ini yang MyFundAction sedang usahakan dan akan berterusan melakukannya di masa hadapan di setiap cawangan MyFundAction di dalam dan luar negara.
Sebenarnya praktikaliti ini sudah lama menjadi praktis standard oleh NGO di luar negara namun bukan di dalam negara. Semua ini akan kami lakukan kepada semua asnaf bagi mengeluarkan mereka dari garis kemiskinan secara konsisten demi membina sebuah negara yang bebas kemiskinan sejajar dengan saranan Persatuan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di bawah Sustainable Development Goals pertama, ‘No Poverty’.
Secara tuntas, MyFundAction berharap agar semua pihak memahami aspirasi kami dalam memastikan kefahaman strategi pihak kami sampai kepada rakan-rakan kolaborasi, penyokong-penyokong projek serta masyarakat awam.
MyFundAction komited dalam memastikan semua pihak jelas dengan aliran kewangan yang dikendalikan oleh pihak kami bermula dari perkongsian rezeki dari anda sehingga ke pembangunan asnaf kami.
Sebarang pertanyaan berkenaan perkara ini, boleh terus hubungi melalui e-mel rasmi MyFundAction info@myfundaction.org.