Raya 2022 kali ini pasti ramai yang teruja dan merasakan raya paling istimewa! Sebab apa? Jika nak dibandingkan dengan raya dua tahun sebelum ini, kita hanya mampu beraya bersama ahli keluarga dalam perkarangan rumah sahaja. Semua akibat penularan Covid-19 yang memaksa kerajaan untuk menetapkan Perintah Kawalan Pergerakan, PKP.

Selepas dua tahun tidak dapat beraya bersama orang tersayang, kini kerajaan sudah membenarkan kita semua untuk pulang beraya. Ini bermakna, raya tak cancel untuk tahun ini! Nampaknya, raya 2022 mesti meriah! Persiapan raya pun mestilah kena meriah kan?

Tapi kena ingat ye? Dalam kita membuat persiapan raya tu, jangan sampai membazir pula. Sewaktu bulan Ramadan, kan kita sudah didik diri kita untuk berjimat cermat dan dapat elakkan pembaziran. Maka, teruskan berdisiplin walau Ramadan sudah berakhir okay?

Firman Allah yang bermaksud: “Sesungguhnya orang-orang yang melakukan pembaziran ialah saudara-saudara syaitan, sedang syaitan itu pula adalah makhluk yang sangat kufur kepada Tuhannya.”

(Surah al-Isra’, ayat 27)

Bercerita tentang raya 2022, agak-agaknya apa sebab lain yang menyebabkan Hari Raya tahun ini paling special di hati rakyat Malaysia ya?

#1. Dapat merentas negeri

raya 2022

Siapa saja yang tak teruja untuk merentas negeri dan pulang ke kampung halaman? Siap dapat berjumpa dengan keluarga tersayang lagi! Manakan tidaknya. Dua tahun lepas, pasti ramai yang tidak dapat berpeluang untuk beraya bersama keluarga disebabkan terkandas di negeri masing-masing.

BERITA BAIK LAGI UNTUK RAYA 2022 NI! 

Baru-baru ini kerajaan ada mengumumkan tol percuma dan diskaun sehingga 50% sempena Aidilfitri. Wah! Nampaknya perayaan Aidilfitri pada tahun ini memang akan meriah sangat. Pasti banyak kenderaan di atas lebuhraya. Maka, rancang perjalanan anda sebaiknya ya dan berhati-hati jika ingin pulang ke kampung halaman.

“Seronok dapat merentas negeri balik kampung. SOP pun dah banyak kelonggaran berbanding tahun lepas. Sebelum ni nak berkumpul ramai-ramai pun tak boleh jadi tak meriah sangat sebab beraya dalam rumah saja tapi tahun ini dah boleh berkumpul. Jadi ada lah feel nak raya tu.”

Saiful Azmi

#2. Dapat berjumpa sanak saudara

raya 2022

Dalam pada itu, ada juga yang menyatakan pendapat bahawa perbezaan raya bagi mereka pada raya 2022 ini kerana mereka berpeluang untuk berjumpa dengan sanak-saudara selepas dua tahun tidak dapat jumpa dan secara tidak langsung dapat mengeratkan semula silaturahim.

Sabda Baginda dalam satu hadis:

”Tidakkah kamu suka, aku beritahu kamu tentang sesuatu amalan yang lebih afdal dari puasa, bersolat dan bersedekah?

Para sahabat berkata: “Tentu ya Rasulullah.” Baginda bersabda: “iaitu memperbaiki keretakan dalam hubungan keluarga kerana keretakan hubungan keluarga ialah pencukur (nikmat).”

Imam Ahamd dari Abu Darda’

Bukan itu sahaja, mereka juga turut menyatakan bahawa raya Aidilfitri pada tahun ini adalah sebagai pengganti raya untuk sebelum-sebelum ini. Malah, ibu bapa di kampung sudah tidak sabar untuk bertemu anak-anak mereka yang berada di bandar.

“Berbeza raya 2022 kali ni sebab kita dah boleh balik kampung. Sebelum ini hanya dekat rumah masing-masing. Perubahan yang besar sebab kerajaan dah bagi kelonggaran dan sepatutnya dimanfaatkan dengan sebaik mungkin.”

Hanim Nayan

#3. Dapat menjamah lauk raya bersama keluarga

raya 2022

Selain itu, ada juga yang memberikan pendapat yang berbeza seperti Farah Izany yang menyatakan bahawa raya 2022 adalah raya yang dinanti-nantikan kerana dapat menjamah pelbagai lauk raya bersama keluarga tersayang.

“Bukan nak kata saya tak dapat jamah lauk raya pada hari raya. Tetapi, sepanjang dua tahun saya jauh di perantauan kerana tuntutan hakiki. Jadi, saya jamah lauk raya seorang diri di rumah sewa. Berbeza dengan raya kali ini adalah saya dapat menikmati rendang ayam, ketupat, lemang dan macam-macam lagi bersama keluarga. Tak sabar rasanya!”

Farah Izany

Meskipun Malaysia sudah dikategorikan sebagai fasa endemik dan banyak kelonggaran SOP diluluskan oleh kerajaan, jangan lupa untuk menjaga SOP dan jarak ketika kita sedang beraya. Begitu juga dengan pemakaian pelitup muka dan bersalaman.

Walaupun kerajaan beri kita pilihan untuk tidak pakai pelitup muka sewaktu di luar bangunan dan boleh bersalaman bermula 1 Mei 2022, namun jangan lupa untuk kerap membasuh tangan. Sekiranya anda rasa tidak sihat, pakai pelitup muka supaya tiada penyebaran virus.

Apa-apa pun, kami daripada MyFundAction ingin mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri, maaf zahir dan batin kepada semua rakyat Malaysia!

Similar Posts