Salah seorang penerima manfaat (tengah) bersama sukarelawan MyFundAction (kiri) dan Bursa VIBE (kanan)
KUALA LUMPUR, 24 April 2022 – Seramai 600 individu dan 100 keluarga sekitar Kuala Lumpur hari ini telah menerima bantuan kotak makanan asas, makanan berbuka puasa serta bubur lambuk.
Ini merupakan hasil kolaborasi Bursa Malaysia dan Yayasan Kebajikan Muslim (MyFundAction) yang telah menganjurkan projek Ramadan susulan dari misi bantuan banjir tempoh hari bernilai RM210,000 yang dimanfaatkan kepada lebih 2,300 penerima yang rata-ratanya dari golongan asnaf, B40 dan masyarakat terjejas pendapatan.
Program yang telah memberi manfaat kepada masyarakat setempat di sekitar Kuala Lumpur ini telah dianjurkan menerusi projek Special Iftar for Ummah (SIFU) pimpinan sektor makanan di bawah modul Sustainability Development Goals (SDG).
Siti Najeeha Zaini, Pengurus Projek SIFU 2022 berkata, “kolaborasi kali kedua ini telah berlangsung di dua tempat berbeza iaitu di Masjid Jamek dan Pusat Perumahan Rakyat (PPR) Semarak manakala kolaborasi sebelum ini merupakan misi bantuan banjir di Selangor.
“Di Masjid Jamek, kami telah mengedarkan 600 pek bubur lambuk kepada masyarakat sekitar manakala di PPR Seri Semarak, kami telah mengedarkan 100 kotak makanan asas ‘Rezeki Ummat’, 100 kotak ‘Hygiene Kit’ serta 425 pek makanan berbuka puasa SIFU.
Tan Sri Abdul Wahid Omar, Pengerusi Bursa Malaysia menuangkan bubur lambuk untuk diedarkan kepada masyarakat
“Projek ini bertujuan menyantuni golongan yang memerlukan menerusi perkongsian juadah berbuka puasa sambil merapatkan lagi hubungan ‘Keluarga Malaysia’ sesama rakan kolaborasi dan masyarakat sekitar,” tambah beliau.
Linawati Adnan, salah seorang sukarelawan Bursa VIBE menyatakan kepuasan beliau apabila berjaya membantu masyarakat sekitar dalam mengedar serta mengangkat kotak bantuan dan makanan berbuka ke rumah asnaf yang terpilih.
Linawati berpuas hati melihat senyuman terukir di muka para penerima manfaat yang dibantu hari ini
“Memandangkan edaran hari ini berkonsepkan self pickup, penerima manfaat dari kalangan B40 dan warga emas perlu hadir ke Surau Al-Husna bagi mendapatkan bantuan dan beberapa asnaf yang terpilih akan kami hantar ke rumah masing-masing,” ujar beliau.
Antara sukarelawan MyFundAction dan Bursa VIBE yang turun padang memberi bantuan
Majlis perasmian program ini turut diserikan dengan kehadiran Datuk Muhamad Umar Swift, Ketua Pegawai Eksekutif, Bursa Malaysia; Tuan Muhammad Afiq Mohmad Nazari, Ketua Pegawai Eksekutif, MyFundAction, Puan Emila Tee, Pengarah Kelestarian Bursa Malaysia dan Puan Siti Aisyah Shahid, Ketua Pegawai Operasi, MyFundAction.
sumber: Siakap Keli