Dr. Hj Mohd Hizul Azri Hj Md Noor menyerahkan cenderamata kepada YDH DIG Tan Sri Razarudin Husain
KUALA LUMPUR, 12 JULAI 2022 – Yayasan Kebajikan Muslim (MyFundAction) bersama rakan kolaborasi, Masjid Bukit Aman dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) hari ini telah menganjurkan Program Ibadah Korban serta edaran daging lembu kepada enam Ibu Pejabat Daerah (IPD), Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) dan Trafik Kontinjen Kuala Lumpur. Sebanyak lima ekor lembu dari MyFundAction akan disembelih dan diagihkan kepada kontinjen Kuala Lumpur dan 10 ekor dari warga Bukit Aman akan diagihkan kepada asnaf dan warga kerja Bukit Aman.
Kolaborasi buat kali kedua selepas Ramadan lalu bertujuan bagi memupuk semangat berkorban dalam diri warga PDRM dan penduduk sekitar Masjid Bukit Aman dan saling berkongsi rezeki dalam pelbagai bentuk melalui pemberian daging korban serta memupuk semangat kerjasama antara belia dan PDRM di samping dapat menjalinkan hubungan yang baik dengan warga IPD. Majlis yang dirasmikan oleh YDH DIG Tan Sri Razarudin bin Husain, Timbalan Ketua Polis Negara (TKPN) itu telah dihadiri oleh lebih kurang 320 peserta yang terdiri daripada 230 orang anggota PDRM dan 90 orang belia bawah bimbingan MyFundAction.
Pada sebelah pagi, sebuah forum khas Aidiladha telah dijalankan bertajuk “Korban: Peranan Generasi Muda” yang dikendalikan oleh moderator, En Haziq Fikri bin Suhaimi, mahasiswa undang-undang dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia. Panel jemputan bagi forum tersebut adalah Al-Fadhil Ustaz Ahmad Umair bin Zulkefli, Ketua Pembangunan Belia, MyFundAction dan YDH SAC Mohamad Zainal bin Abdullah, Ketua Penolong Pengarah Pendakwaan Undang-undang, Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman.
Moderator dan ahli panel forum
Isma Fidza Hazry bin Ismail, Pengarah Program Qurban Care for Ummah bersama Masjid Bukit Aman menzahirkan rasa syukur atas kejayaan mengedarkan sejumlah 10 ekor lembu yang telah dilapah dan dibahagikan kepada warga IPD sekitar. Inisiatif ini dilaksanakan bagi menghargai warga PDRM yang telah berjasa dalam melindungi dan menjaga keamanan dan kesejahteraan negara kita.
Aktiviti gimik melapah daging lembu
Pada Aidiladha kali ini, MyFundAction Malaysia akan menyembelih 163 ekor lembu yang berpusat di Kota Tinggi, Johor. 21 ekor akan diedar mentah dan baki 142 ekor akan dimasak dan dipekkan ke dalam pek sedia dimakan bagi jaminan makanan yang lebih lama. Manakala bagi cawangan di luar negara, MyFundAction akan menyembelih 20 ekor lembu di benua afrika, 25 ekor kambing di Mesir, 20 ekor biri-biri di Jordan, 7 ekor biri-biri di Turki, 2 ekor biri-biri dan seekor unta di Palestin dan seekor lembu dan seekor kambing di Indonesia.
Bagi meneruskan lagi usaha murni ini, MyFundAction amat mengalu-alukan sokongan dan kesudian syarikat korporat, badan bukan kerajaan (NGO) atau mana-mana individu perseorangan yang ingin berkolaborasi dan bekerjasama untuk memperkasa lebih ramai golongan belia dalam usaha untuk membantu lebih ramai masyarakat yang kurang bernasib baik pada masa akan datang baik di peringkat nasional mahupun antarabangsa.
Rujukan: https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2022/07/975565/pdrm-myfundaction-korban-15-lembu