Konflik yang berlaku di Syria seperti tiada penghujung. Masyarakat yang tertindas umpama pelarian di negara sendiri. Hari ini, penduduk di sana hanya tinggal di bawah khemah bersama anak-anak kecil yang mungkin menjadi pengubah nasib negara.
Berbekalkan khemah dan pakaian yang nipis, pelarian Syria terpaksa menempuh musim sejuk dengan suhu mencecah -5°c. Pemanas suhu yang tinggal hanya cukup untuk memanaskan dua ke tiga jam sahaja.
Baru-baru ini, pasukan Yayasan Kebajikan Muslim (MyFundAction) komited menghantar bantuan musim sejuk berupa pakaian dan makanan di Idlib. Isma Fildza Hazry Ismail, Ketua Jabatan Perhubungan Luar MyFundAction menyatakan bahawa suhu ketika berada di sana serta tempat tinggal yang tidak selesa sangat mengganggu status kesihatan seseorang.
“Kami memang tidur di kem pelarian di Idlib selama beberapa malam dan memang kedengaran suara anak-anak kecil menangis pada pukul tiga ke empat pagi disebabkan kesejukan yang melampau.
“Ibu bapa tiada kemampuan untuk berbuat apa-apa melainkan menggunakan pakaian lusuh masing-masing dan membaluti anak kecil,” ujar Isma yang juga merupakan Ketua Perjalanan Misi Bantuan Musim Sejuk ke Syria.
Misi Bantuan Syria yang sudah menjelang tahun keempat dengan jumlah bantuan mencecah RM4 juta ini menyasarkan projek yang lebih lestari kepada penduduk di Syria termasuklah projek pembinaan 500 buah Rumah Briket yang sudah berada di fasa akhir pembinaan, serta projek Kilang Roti yang akan memberikan jaminan makanan kepada penduduk di sini.
RUMAH IDLIB (BRIQUETTE HOUSE)
Kita sedia maklum, antara tiga hierarki tertinggi keperluan manusia ialah makanan, pakaian dan tempat tinggal. Oleh itu, pembinaan Rumah Idlib (Briquette House) dimulakan bagi memenuhi keselesaan buat pelarian Syria. Setakat ini, sudah 600 buah rumah Idlib secara keseluruhannya yang dinamakan sebagai ‘Kampung Malaysia” telah pun diserahkan kepada 750 orang penerima manfaat di sana. Lebih menyayat hati, hakikatnya lebih 1 juta penduduk memerlukan tempat tinggal disana selepas ratusan ribu manusia mati terbunuh dan tercedera dalam perang Syria.
Sebelum ini, rata-rata pelarian tidak mempunyai tempat perlindungan dan terpaksa hidup merempat di kawasan terbuka yang tidak selamat, dan nomad. Hasil perkongsian rezeki orang ramai, awalnya mereka ini dibantu dengan dihadiahkan khemah sebagai tempat berteduh untuk mendapatkan tempat tinggal yang lebih baik. Namun, menyedari kekangan yang berlaku seperti khemah mudah rosak, kondisi yang tidak sesuai kerana udara haba yang kuat serta tiada faktor keselamatan bagi wanita hamil, dan bayi maka bantuan seterusnya bertukar kepada pembinaan rumah Idlib.
Bentuk empat segi sama bagi sebuah kotak boleh memuatkan empat buah rumah Idlib yang mengambil masa selama enam (6) bulan untuk disiapkan. Asalnya, daripada 100 buah rumah dibina pada tahun 2020, namun hasil kepercayaan dan sokongan perkongsian rezeki orang ramai telah menjadikan jumlah rumah Idlib edisi 2021 dibina sebanyak 500 buah rumah. Dalam perancangan akan datang, MyFundAction mempunyai perancangan untuk menghasilkan 1000 lagi buah rumah idlib bergantung kepada kos dan faktor-faktor lain yang ada.
Hal ini disebabkan, selain daripada cabaran penyediaan kos, kawasan tanah pembinaan juga memainkan peranan penting. Setakat ini, semua rumah Idlib dibina adalah dibawah kebenaran kerajaan disana. Inisiatif pembinaan rumah Idlib ini merupakan bantuan yang amat bermakna bagi pelarian Syria. Mana tidaknya, segala masalah mereka tentang tempat tinggal kini sirna dengan adanya rumah Idlib dari MyFundAction.
Berlatar belakangkan rumah Idlib yang siap dibina
MASJID AS-SABEEL III
Selain projek 500 buah rumah briket, MyFundAction dengan kerjasama Malaysia For Syria telah membina sebuah masjid di Idlib, Syria. Masjid As-Sabeel III, yang mempunyai rekaan bumbung 8 bucu itu, diinspirasikan dari bumbung konkrit Masjid Negara, Malaysia yang berbentuk bintang 16 bucu dan kelihatan seperti sekaki payung yang kembang.
Selain terdapat pengaruh masjid di Malaysia, Masjid As-Sabeel ketiga juga direka dengan elemen perhiasan masjid dari Turki dan Syria sendiri. Masjid yang bernilai RM400,000 itu terletak di tengah-tengah bandar A’zaz dan menjadi antara masjid terbesar di situ.
Model Masjid As-Sabeel
Rumah ibadat dua tingkat yang mampu menampung seramai 500 orang jemaah itu akan digunakan sebagai pusat ibadat dan pusat pembelajaran Quran dan tahfiz penduduk setempat.
Ketua Pegawai Operasi MyFundAction, Siti Aisyah Syahid berharap masjid tersebut akan menjadi aspirasi bagi anak-anak Syria bangkit mengejar ilmu dan ketamadunan yang merupakan hak mereka dan sekaligus menjadi projek lestari MyFundAction buat saudara kita di Syria.
Fasa pembinaan Masjid As-Sabeel
“Masjid ini bukan sekadar menjadi sebuah bangunan dan kemegahan, biar mereka tahu, satu dunia memberi doa dan semangat untuk mereka membela tanah air mereka sendiri,” tambah beliau.
Selain dewan solat utama, tempat mengambil wuduk dan mimbar turut disediakan selain institut agama yang dibina berhadapan dengan masjid berkenaan.
KILANG ROTI IDLIB
Setelah hampir 11 tahun krisis peperangan di daerah Idlib, Syria sejak November 2020, rata-rata rakyatnya hilang punca pendapatan. Meskipun 6 juta daripada mereka sudah mendapatkan perlindungan di negara luar seperti Lubnan, Jordan, Iraq, dan Mesir. Namun, masih ada 6 juta lagi rakyatnya yang menjadi pelarian di negara sendiri. Peristiwa ini menyebabkan kekurangan makanan kerana terlalu ramai pelarian di kem.
Roti merupakan makanan asas bagi pelarian Syria, tetapi disebabkan faktor ekonomi dan pemerintahan, pengeluaran roti adalah mahal dan terhad menyebabkan kebanyakan daripada mereka terpaksa mengikat perut. Selain itu, pihak berkuasa Turki juga telh bertindak menyekat pemindahan tepung ke Syria atas beberapa faktor. Ini menyebabkan lori tepung (penting untuk pengeluaran roti) ke Syria terhenti dari semasa ke semasa (seperti sekarang).
Pembuatan Roti di Syria
Menurut analisis, kes kebuluran di Syria meningkat setiap tahun. Ekoran daripada itu, misi Winter Mission 1.0 sehingga Winter Mission 3.0 MyFundaction telah mengedarkan lebih kurang 2500 Food Basket yang berupa 6 keping roti sebungkus. Namun, sejumlah besar tepung yang dihantar ke Syria tidak diberikan sepenuhnya kepada penghasilan roti percuma tetapi di hantar kepada kedai roti yang beroperasi di Syria yang digunakan untuk menghasilkan roti untuk dijual. Ini menimbulkan masalah kepada bantuan yang dihantar kerana tidak sampai kepada mereka yang memerlukan.
Plan lakaran Kilang Roti Idlib
Oleh sebab itu, bagi Winter Mission 4.0 MyFundAction telah merancang untuk membina sebuah kilang roti yang mampu menghasilkan 15 ribu keping roti sehari dengan kerjasama Hayrat Yardim. Roti-roti ini seterusnya akan diedarkan kepada 15 ribu keluarga setiap hari supaya tiada lagi yang kelaparan atau kebuluran. Selain ia juga membekalkan makanan harian secara berterusan kepada rakyat Syria, Kilang Roti Idlib ini pastinya membuka peluang pekerjaan kepada mereka dan usaha ini juga diharapkan dapat membantu membaik pulih sistem ekonomi rakyat Syria.
Lokasi Kilang Roti Idlib ini akan dibina di Reyhanli, Hatay di Turki dengan ketinggian 4m dan keluasan (25m x 10m) yang akan membelanjakan USD 285,000 atau RM 1,192 275.
MyFundAction tidak akan mampu merealisasikan impian ini sendirian tanpa bantuan dari semua pihak. Oleh itu, dalam usaha murni untuk membantu saudara kita di sana, MyFundAction ingin mengajak semua rakyat Malaysia bersama-sama kami dalam misi ini. Kita tidak mahu memberi bantuan secara “one-off” seperti sebelum ini tetapi melihatkan kepada bentuk bantuan yan berkekalan yang mampu membantu mereka untuk bangkit kembali demi hak penduduk Syria di tanah air sendiri. Rasulullah SAW telah bersabda:
مَنْ لَمْ يَهْتَمَّ بِأَمْرِ الْمُسْلِمِينَ فَلَيْسَ مِنْهُمْ
Maksudnya: “Siapa yang tidak perhatian terhadap urusan orang Islam, maka ia bukan dari kalangan mereka..”
MyFundAction bersungguh-sungguh dalam usaha menjalankan misi kali ini. Jom bersama kami!
Bantuan rumah Idlib : https://myfundaction.org/campaign/shelter-in-syria/
Bantuan Masjid As-Sabeel : https://myfundaction.org/campaign/masjid-as-sabeel-syria/
Sebarang pertanyaan berkenaan perkara ini, boleh terus hubungi melalui emel rasmi MyFundAction info@2021.myfundaction.org