Kotak Rezeki Ummat (RU) dan MyDuit Raya bernilai RM360 antara perkongsian rezeki yang diberikan oleh MyHeart kepada penerima manfaat MyRaya

SUBANG JAYA – Semakin banyak kelonggaran yang diberikan oleh pihak kerajaan, semakin bersemangat rakyat Malaysia ingin raikan sambutan Ramadan pada tahun ini. Mana tidaknya, sudah dua tahun kemanisan dan nikmat menjalani ibadah puasa berubah dek kerana penularan COVID-19. Kini, aktiviti di bazar Ramadan serta solat tarawih berjemaah sudah boleh dilakukan seperti dulu semula.

Mydin Subang Jaya dan Pertubuhan Kesihatan Jantung Malaysia (MyHeart) juga turut mengambil peluang ini dengan menganjurkan kerjasama menerusi program MyRaya untuk menghulurkan bantuan barangan keperluan harian (Kotak Rezeki Ummat) dan duit raya yang bernilai RM 360 kepada setiap penerima. Kotak Rezeki Ummat (RU) merupakan barangan keperluan asas bahan mentah yang dijangkakan bertahan selama dua minggu seperti beras, tepung, sardin, makanan ‘ready-to-eat’, kicap, sos dan lain-lain.

Inisiatif MyRaya ini adalah bertujuan untuk memberikan pengalaman keterujaan kepada pesakit  kanser  dan penyakit jarang jumpa melalui membeli-belah barangan asas untuk sambutan raya pada tahun 2022 selain meningkatkan kesedaran tentang penyakit ini melalui gabungan antara projek ini dengan Projek We Care For You. 

Seramai 26 pesakit telah dijemput untuk menerima bantuan yang terdiri daripada kategori pesakit kanser dan penyakit jarang jumpa sekitar umur 2 tahun sehingga 70 tahun.

Antara foto kenangan sewaktu sesi penutupan MyRaya 2022 kolaborasi Mydin dan MyHeart

Kesemua data pesakit ini diperoleh daripada beberapa persatuan antaranya Persatuan Ziarah Sahabat Kanser Malaysia, Persatuan Kebangsaan Kanser Negara dan Spinal Muscular Atrophy Malaysia Association.

Menurut Zaki Yahya, Pengasas dan Pengerusi Persatuan Ziarah Sahabat Kanser Malaysia menyatakan pihaknya sentiasa berlapang dada untuk berkongsi data pesakit mengikut kesesuaian kriteria program demi untuk memastikan penerima manfaat dapat menikmati kebahagiaan melalui perkongsian rezeki daripada mana-mana pihak yang sudi berkolaborasi. 

Selaku perasmi program MyRaya 2022, Norman Rajen Abdullah selaku Pengurus Besar Mydin turut menzahirkan keterujaan beliau dengan menegaskan Mydin sentiasa bersedia untuk berkolaborasi untuk sebarang program komuniti khusunya kebajikan.

Selain menerima perkongsian rezeki bernilai RM 360, para penerima manfaat juga diberikan potongan harga sebanyak 30% untuk setiap pembelian di Mydin.

“Dulu, fokus kami hanyalah membantu pesakit jantung sahaja. Tetapi kini, kami membantu sesiapa sahaja pesakit yang menepati kriteria yang ditetapkan asalkan mereka dapat menikmati kebahagiaan melalui bantuan MyHeart,” ujar Dr. Ahmad Luqman Ahmad Shuhaili, selaku Pengerusi MyHeart yang tampil memberi ucapan pada hari kejadian.

“Perkongsian rezeki seperti ini siapa saja tidak suka, pastinya saya sebagai bapa merasakan insan istimewa seperti anak saya ini masih layak menerima kebahagiaan seperti orang lain,” sayup luahan seorang bapa penerima manfaat ketika ditanya berkaitan reaksi beliau ketika mendapat undangan ke program MyRaya.

Turut ikut serta di majlis perasmian ialah, Shakira Jamil Fisal, Presiden Spinal Muscular Atrophy Malaysia Association, Petronilla, Koordinator Persatuan Kebangsaan Kanser Negara dan Suraiya Jabarudin, Ketua Unit Korporat, MyFundAction.

Similar Posts