‘Rebut ganjaran berganda’. Itulah ungkapan yang boleh difikirkan apabila tibanya Ramadan, bulan yang mulia serta penuh dengan kelebihan yang sama sekali tidak ada pada bulan-bulan yang lain. 

Alhamdulillah, kita masih  diizinkan lagi untuk bertemu dengan bulan mulia ini yang hanya muncul setahun sekali. Walaupun kita tidak henti-henti diuji dengan virus COVID-19, alhamdulillah Allah masih memberi peluang kepada kita untuk menyambut Ramadan. Kita sendiri tidak tahu pada tahun-tahun akan datang kita dapat menyambutnya lagi atau tidak.

Setiap Muslim sangat menantikan kedatangan Ramadan kerana pada bulan ini, setiap amalan kebaikan yang dilakukan pasti akan dilipat gandakan ganjarannya oleh Allah S.W.T. Pintu neraka juga akan ditutup seketat-ketatnya manakala pintu syurga pula akan dibuka seluas-luasnya. 

Tidak hairanlah jika setiap Muslim berlumba-lumba untuk membuat kebaikan bagi meraih pahala yang berganda. Bukan itu sahaja, syaitan dan jin juga akan dibelenggu. Jadi, bukankah lebih mudah untuk kita memperbanyakkan amalan-amalan soleh dan mendidik diri kita ke arah kebaikan seterusnya menjadi hamba yang lebih bertakwa?

Masih berbaki 3 minggu lagi sebelum berakhirnya Ramadan dan tidak terlambat untuk kita melakukan amalan-amalan takwa bagi merebut ganjaran yang dijanjikan oleh Allah S.W.T. Mari kita sama-sama semak amalan yang boleh dilakukan bagi merebut ganjaran berganda. Peluang keemasan seperti ini tidak sepatutnya kita lepaskan.

Perbanyakkan membaca al-Quran

Jika kita sebut tentang ganjaran membaca al-Quran, sudah pasti kebanyakkan Muslim jelas dan tahu akan ganjarannya iaitu 10 pahala untuk 1 huruf. Kita baca 1 muka surat sahaja sudah banyak ganjaran pahalanya. Bayangkan jika kita membacanya pada bulan Ramadan, boleh jadi  pahala yang diperoleh bagi 1 huruf bukan lagi 10 malah menjadi lebih berlipat kali ganda banyaknya daripada itu. 

Kita juga digalakkan untuk membaca al-Quran lebih banyak dalam bulan Ramadan berbanding bulan-bulan yang lain. Kalau mampu, adalah lebih baik untuk kita mengkhatamkan al-Quran pada bulan ini. Tips untuk khatam pada bulan Ramadan adalah dengan cara membaca tiga helai sebelum dan selepas daripada menunaikan solat fardhu. Perkara yang penting dalam hal ini adalah kita perlu sentiasa istiqamah dalam melakukannya.

Bersedekah mengikut kemampuan

Ketika pada bulan Ramadan ini juga, kita digalakkan untuk memperbanyakkan amalan bersedekah. Baginda Rasulullah S.A.W sendiri amat yakin bahawa harta seseorang yang bersedekah tidak akan kurang.  Malah dengan bersedekah, Allah akan memberkati hartanya dan menambah rezekinya berlipat kali ganda. Tambahan pula pada bulan puasa ini, kita boleh merebut ganjaran berganda yang tidak dapat dibayangkan oleh akal fikiran kita.

Sifat pemurah merupakan salah satu daripada sifat-sifat Allah Taala. Banyak kelebihannya bagi mereka yang bersedekah. Salah satunya adalah diampunkan dosanya seperti mana yang disebut dalam hadis riwayat At-Tirmidzi mafhumnya, “Sedekah dapat menghapus dosa sebagaimana air memadamkan api.” 

Bersedekah tidak semestinya dalam bentuk wang ringgit sahaja tetapi kita juga digalakkan untuk memberi makan kepada mereka yang berpuasa. Lebih-lebih lagi kepada mereka yang memerlukan. 

Malam Lailatul Qadar

Terdapat satu malam yang sangat istimewa yang tidak ada pada bulan-bulan yang lain iaitu malam Lailatul Qadar. Ia hanya muncul pada 10 malam terakhir dalam bulan Ramadan dan merupakan satu malam penuh keberkatan yang lebih baik daripada 1000 malam.

Lailatul Qadar ini merupakan satu malam yang dinanti-nantikan oleh setiap Muslim kerana kelebihannya yang sangat banyak. Rasulullah S.A.W bersabda dalam hadisnya yang bermaksud: “Sesungguhnya bulan ini (Ramadan) telah datang kepada kamu, di dalamnya terdapat satu malam di mana amalan ibadat yang dilakukan pada malam tersebut lebih baik dan lebih besar ganjarannya daripada amalan selama seribu bulan…” (Hadis riwayat Ibnu Majah) 

Sudah terang lagi bersuluh bahawa kemunculan malam Lailatul Qadar pada setiap tahun ini merupakan salah satu daripada anugerah ilahi kepada kita jika dilihat kepada fadhilat yang terkandung dalam malam ini. Kita hanya perlu berusaha sahaja untuk mendapatkannya. Sebagai seorang Muslim yang bertaqwa, kenapa kita perlu lepaskan peluang ini?

Inilah kesempatannya untuk kita sungguh-sungguh merebut seberapa banyak ganjaran berganda yang dijanjikan. Pada masa yang sama, jadikan bulan Ramadan ini sebagai satu madrasah untuk kita didik diri kita menjadi seorang hamba Allah yang lebih baik dan beriman. 

Similar Posts