Setiap syarikat perlu menjalankan pelbagai projek demi menjaga kelangsungan syarikat dari pelbagai sudut.

Namun, sejauh mana keberkesanan bagi setiap projek dan apakah yang menjadi kayu ukur bagi keberkesanan sesebuah projek tersebut? Di MyFundAction, kaedah Pulangan Pelaburan Sosial atau Social Return on Investment (SROI) menjadi kayu ukur dalam menentukan tahap keberkesanan projek dari pelbagai aspek.

Apakah itu SROI?

Pulangan Pelaburan Sosial atau SROI adalah kaedah berasaskan prinsip untuk mengukur nilai tambahan kewangan.

Ia digunakan bagi menilai impak kewangan dan impak sosial serta mengenal pasti cara untuk meningkatkan prestasi syarikat dari sudut pelaburan daripada projek-projek yang telah dijalankan berdasarkan Matlamat Pembangunan Mapan atau Sustainable Development Goals (SDGs).

Impak ini akan diukur melalui pihak berkepentingan (stakeholder) syarikat yang terdiri daripada penerima manfaat, pelabur, pekerja, sukarelawan, anggota masyarakat, dan pelajar.

Apakah Ukuran Bagi Setiap SDG?

Daripada 4 komponen Matlamat Pembangunan Lestari (SDGs) iaitu ‘tiada kemiskinan’, ‘sifar kelaparan’, ‘pendidikan berkualiti’ dan ‘kesihatan baik dan kesejahteraan’ ini mempunyai ukuran SROI yang tersendiri dan sasaran yang berbeza. Dengan mengira SROI, pihak syarikat akan mengetahui impak atau peratusan pencapaian sasaran dalam setiap SDG tersebut dengan lebih baik.

Sebagai contoh bagi SDG ‘tiada kemiskinan’ dan ‘sifar kelaparan’, MyFundAction menggunakan kaedah nilai campuran atau blended values bagi mengukur tahap keberkesanan sesebuah program atau projek di bawah SDG ini. Kiraan diambil kira dari pelbagai aspek termasuklah pendapatan bersih perniagaan berkaitan, cukai dari peluang pekerjaan, penerima pendapatan daripada bilangan isi rumah dan penjimatan peruntukan bantuan daripada kerajaan.

Selain kaedah nilai campuran, MyFundAction juga menggunakan kaedah Nisbah Faedah kepada Kos dalam SDG yang sama. Kaedah ini akan mengambil kira Nilai Kini Bersih = Nilai Manfaat, Input iaitu kos mengikut item atau perniagaan dan Nilai Faedah mengikut item atau oleh Sokongan Kerajaan.

Impak SROI Dalam Setiap Sektor

Impak atau keberkesanan bagi setiap projek yang dijalankan di bawah setiap SDG amatlah penting. Jika rendah kadar keberkesanan bagi sesebuah projek, maka projek berkenaan tidak berkualiti berbanding projek yang berimpak tinggi bagi setiap SDG atau sektor.

Sektor Kemiskinan

Dalam sektor kemiskinan, MyFundAction menyasarkan untuk membasmi kemiskinan tegar iaitu bilangan penduduk yang berada di bawah garis kemiskinan antarabangsa yang ditakrifkan mempunyai pendapatan $1.90 atau RM8.04 sehari. Impak yang disasarkan termasuklah mengurangkan sekurang-kurangnya 50% bilangan penduduk yang berada di bawah garis kemiskinan nasional. Impak-impak ini akan dicapai melalui beberapa projek yang dijalankan seperti Box of Happiness dan Ikhtiar Usahawan.

Selain dari mengurangkan kemiskinan dengan kadar 50%, MyFundAction juga akan menyasarkan hak kesamarataan kepada pemilikan, perkhidmatan asas, teknologi dan sumber ekonomi. Ini termasuklah mempunyai akses kepada keperluan asas seperti air minuman bersih, sanitasi, elektrik, dan bahan bakar memasak yang bersih. Sasaran akan direalisasikan melalui projek Dream House dan Ikhtiar Usahawan.

Sektor Makanan

Bagi sektor ini, MyFundAction akan memberikan akses universal dari sudut makanan selamat dan berkhasiat di samping menamatkan semua bentuk makanan yang tidak berkhasiat. Ini akan mengelakkan kekurangan zat makanan dari kalangan penduduk dunia serta mencegah kebuluran kanak-kanak di bawah umur 5 tahun. Bagi merealisasikan sasaran impak ini, beberapa projek telah dijalankan antaranya Hotmeal Project, Emergency Relief, Special Iftar For Ummah (SIFU), Nutritious Food in Preschool dan Yaman Nutritious Milk.

Selain memberi akses menyeluruh dari sudut makanan, MyFundAction juga akan menggandakan produktiviti dan penghasilan bagi peniaga makanan berskala kecil di samping mengekalkan tahap pengeluaran makanan dan amalan pertanian melalui projek Smile Pack, Qurban Care for Ummah dan SIFU. Di samping peniaga kecil ini dibantu, mereka juga akan terlibat dalam membantu masyarakat lain yang terjejas.

Sektor Kesihatan

Dalam sektor ini, MyFundAction menyasarkan untuk menghentikan kematian yang boleh dielak bagi kanak-kanak berumur 5 tahun ke bawah. Bagi memastikan impak ini berjaya, MyFundAction melalui badan berautoriti akan melakukan ujian diagnostik bagi penyakit genetik, memberikan bantuan susu berkhasiat serta pengangkutan bagi memudahkan sesi pemeriksaan kesihatan.

Selain itu, demi mencapai liputan kesihatan yang menyeluruh, perlindungan perkhidmatan kesihatan penting serta perbelanjaan isi rumah untuk kesihatan turut dijalankan melalui projek Mobile Clinic.

Sektor Pendidikan

Bagi sektor ini, MyFundAction menyasarkan untuk memberikan akses pendidikan tinggi, teknikal dan vokasional secara sama rata serta meningkatkan bilangan pelajar yang mempunyai kemahiran yang berkaitan bagi kejayaan kewangan. Impak ini akan dihasilkan melalui beberapa projek yang dianjurkan seperti YOSH, Gap Year, Annur Quranic Centre dan pendidikan untuk orang asli.

MyFundAction turut menyasarkan kesamarataan akses kepada pendidikan pra- sekolah melalui projek Tadika Ilham Naluri yang turut akan meningkatkan bekalan guru pendidikan awal kanak-kanak yang berkaliber di negara ini.

MyFundAction berharap agar semua pihak memahami aspirasi kami dalam memastikan sasaran impak yang dinyatakan mampu untuk dicapai demi kelangsungan masyarakat dunia.

Similar Posts