KUALA LUMPUR – Seorang pengawal keselamatan yang juga ibu tunggal sanggup mengerah keringat menjaga empat orang anaknya beserta ibu bapanya yang berlainan agama di PPR Semarak di sini selepas diceraikan oleh suaminya empat tahun lalu.
Saratah Letchumanan atau nama Islamnya Nursarah Letchumanan terpaksa mengorbankan wang gajinya sebagai pengawal keselamatan untuk urusan persekolahan empat orang anaknya.
Akui ibu kepada Yuganesshwary, Kuhan Raj, Yogaletchumy dan Vithya Sri yang masing-masing berusia 15, 13, 5 dan 4 tahun itu, dia kini menggalas tanggungjawab sebagai ketua keluarga bagi memastikan kebahagiaan anak-anaknya yang masih beragama Hindu.
Bukan itu sahaja, beliau juga perlu menjaga ibu kandungnya, Tunikody M Karuppiah, 66, serta bapanya, Letchumanan Ponnusamy 84, yang menghidap penyakit kronik seperti sakit jantung, batu di hempedu, asma, darah tinggi dan kolesterol tinggi.
Sarah bersama ibu bapanya, Letchumanan dan Tunikody
“Kalau sebelum ini saya masih mampu untuk tanggung keluarga, tetapi sejak ayah sakit dan terlantar di hospital, wang banyak diperlukan untuk membeli susu dan lampin pakai buang ayah,” kata Sarah yang telah memeluk Islam sejak setahun lalu.
“Susu dan lampin sahaja menelan belanja RM600 sebulan dan saya tidak pernah memohon bantuan dari mana-mana pihak kerana takut masyarakat anggap saya memeluk agama Islam hanya untuk mendapat bantuan.
“Bantuan hari ini pun saya tidak tahu macam mana saya boleh dapat, mungkin rakan-rakan atau jiran-jiran yang mohonkan untuk saya,” kata Sarah yang juga graduan Diploma di Institut Usahawan Bumiputera (IUB) dalam bidang IT.
Sarah sekeluarga menerima bantuan Perintis Aspirasi daripada MyFundAction
Terdahulu, Sarah menerima bantuan Perintis Aspirasi yang mengandungi barangan makanan asas harian serta barangan kebersihan diri bernilai RM310 selama enam bulan daripada Yayasan Kebajikan Muslim (MyFundAction).